My Add

Wednesday 10 July 2013

Pelajar Malaysia peroleh 98.18% sijil tinggi persekolahan Kuwait

 MUHAMMAD SAFIUDDIN
KUALA LUMPUR, SELASA, 09 Julai, 203: Pelajar Malaysia, Muhammad Safiuddin Mohd. Soyong, 20, mencapai kejayaan cemerlang apabila menduduki tempat pertama ujian A-Level aliran agama dalam Peperiksaan Sijil Penilaian Menengah Umum Kuwait 2013 selepas berjaya memperolehi markah 98.18 peratus.

Dengan kejayaan itu, dia menerima sijil, pingat emas dan wang sagu hati sebanyak RM3,340 (300 Dinar Kuwait) dari National Bank of Kuwait.

Difahamkan seorang pelajar Malaysia pernah menduduki tempat kelima dalam ujian sama lima tahun lalu.

Pencapaian anak kelahiran Kota Bharu, Kelantan, itu diumumkan Menteri Pendidikan dan Menteri Pengajian Tinggi Kuwait, Nayef Al-Hajraf pada Ahad lalu.

Muhammad Safiuddin diraikan bersama semua pelajar cemerlang di satu majlis penyampaian anugerah yang berlangsung di Hotel Jumeirah, Kuwait semalam yang turut dihadiri Duta Besar Malaysia ke Kuwait, Datuk Adnan Othman.

Muhammad Safiuddin berkata, keputusan itu hasil penilaian Kementerian Pendidikan dan Pengajian Tinggi negara itu dalam 11 mata pelajaran iaitu al-Quran Fekah Tafsir Logik, Nahu dan Sorof, Balaghah, Adab dan Nusus, Penulisan (karangan), Bahasa Inggeris, Kemasyarakatan dan Hadis.

Menurut anak bongsu daripada enam beradik itu, ujian yang setara dengan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) tersebut dibuat bagi tempoh pembelajaran dua tahun dan kesemua peperiksaan dikendalikan dalam bahasa Arab, kecuali untuk mata pelajaran Bahasa Inggeris.

"Saya tujukan kejayaan ini kepada ibu, Siti Fatemah Abdullah di Kota Bharu dan amat berterima kasih atas pengorbanannya selama ini dalam membesarkan kami," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Muhammad Safiuddin yang merupakan penuntut di Institut Islam Kuwait, mula belajar di sana sejak 2008 atas tajaan Kerajaan Kuwait, selepas memperolehi 10A dalam Peperiksaan Menengah Rendah Ugama (PMRU) 2007.

Dengan keputusan cemerlang dalam PMRU, dia memohon biasiswa daripada Kerajaan Kuwait setelah mendapat tahu negara itu menawarkan dua biasiswa untuk rakyat Malaysia setiap tahun melalui abangnya, Muhammad Sufillah yang kini menuntut di University of Kuwait.

Muhammad Safiuddin memberitahu, dia kini menunggu tawaran daripada universiti tersebut untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang Bahasa Arab.

Dia yakin berjaya mendapat tawaran itu kerana institusi pengajian tinggi tunggal milik Kerajaan Kuwait berkenaan kebiasaannya menawarkan tempat kepada calon yang menduduki 20 tempat teratas dalam aliran tersebut setiap tahun. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment