My Add

Thursday 11 July 2013

Pelan peralihan Mesir hadapi tentangan

 * PENYOKONG Presiden Mesir yang digulingkan, Mohammed Morsi menunaikan solat maghrib di dataran Rabaa Adawiya, Kaherah kelmarin. Walaupun sudah memasuki bulan Ramadan, mereka berikrar untuk terus mengadakan protes.- Reuters
KAHERAH, RABU, 10 Julai, 2013: Satu piagam yang memberi lebih kuasa kepada pemangku Presiden Mesir dan laluan untuk pilihan raya baharu mendapat tentangan penyokong dan penentang bekas Presiden, Mohammed Morsi.

Situasi tersebut turut menyukarkan peralihan kepada demokrasi di Mesir.

Barisan Penyelamat Kebangsaan (NSF) yang merupakan gabungan utama pembangkang Mesir mengecam dekri pemangku Presiden, Adly Mansour dalam satu kenyataan kelmarin.

NSF sebelum ini mendesak Morsi meletak jawatan sebelum beliau digulingkan oleh tentera Mesir pada minggu lalu.

Tindakan serupa dilakukan oleh kumpulan yang menyokong Morsi, Ikhwanul Muslimin.

Adly kelmarin berikrar akan mengadakan pilihan raya baharu pada awal tahun depan.

Beliau turut mengeluarkan dekri untuk mengadakan referendum berhubung perlembagaan yang telah digubal sebelum pilihan raya bermula.

Keseluruhan proses itu dijangka tidak mengambil masa lebih 210 hari, sekali gus membayangkan pilihan raya bakal diadakan selewat-lewatnya pada Februari 2014.

NSF yang diketuai oleh seteru Morsi, Mohamed ElBaradei sebaliknya mahu dekri tersebut dirombak.

Pemimpin-pemimpin badan tersebut bagaimanapun tidak mendedahkan klausa dekri yang tidak dipersetujui oleh mereka.

Dekri tersebut menetapkan peraturan dan hala tuju pada waktu peralihan sebelum pilihan raya Parlimen dan Presiden diadakan.

Dalam pada itu, dua orang terbunuh semalam apabila kumpulan militan menyerang beberapa kedudukan polis dan tentera di Semenanjung Sinai menggunakan roket dan grenad.

Di tempat lain di Mesir, dua orang maut dalam serangan grenad di sebuah pos pemeriksaan yang dikawal beberapa anggota tentera dan polis.

Dalam perkembangan berkaitan, pemangku Perdana Mesir yang baharu, Hazem El-Beblawi semalam berkata, beliau akan memulakan usaha membentuk Kabinet baharu Mesir.

Menurutnya, beliau menerima kenyataan bahawa adalah sukar untuk Kabinet baharu itu memenangi hati semua pihak.

"Sudah tentu kami menghormati pendapat umum. Kami juga cuba untuk memenuhi jangkaan orang ramai tetapi anda tidak akan dapat memuaskan hati semua orang," katanya.

Pemerintahan setahun Morsi bergolak ekoran beliau dituduh memberikan kuasa kepada pergerakan Islam Ikhwanul Muslimin, selain gagal memulihkan ekonomi. - Agensi/KOSMO! 

No comments:

Post a Comment