My Add

Friday 19 July 2013

Pemandu teksi wajib jalani ujian akreditasi

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 18 Julai, 2013: Satu penanda aras baharu kualiti perkhidmatan teksi sedang diperkenal kerajaan dengan sebanyak 1,000 pemandu teksi yang diberi lesen individu bakal menjadi kumpulan perintis bagi menjayakan usaha itu.

Melalui penanda aras baharu itu, pemandu teksi antara lain perlu mengikuti ujian akreditasi yang dijalankan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) bagi memastikan perkhidmatan diberi menepati standard ditetapkan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, sistem yang diguna pakai perkhidmatan teksi ketika ini sudah tidak sesuai dan perlu ditukar kepada model baharu dengan pelbagai transformasi secara menyeluruh.

Jelasnya, sebagai kumpulan perintis, semua 1,000 pemandu teksi yang diberi lesen individu diwajibkan membeli kereta pelbagai guna jenis Proton Exora untuk dijadikan teksi standard dengan pelbagai tawaran menarik daripada kerajaan.

Antaranya, tambah beliau, pemandu teksi hanya dikenakan kadar pinjaman kenderaan serendah dua peratus, sumbangan wang tunai sebanyak RM5,000 melalui Yayasan Rakyat 1Malaysia serta harga kereta dikecuali cukai jualan dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

"Namun, perkhidmatan baik tidak hanya teksi cantik, perangai dan tingkah laku pemandu mesti cantik juga. Jadilah pemandu teksi yang peramah, sentiasa senyum dan ucap terima kasih kepada pelanggan. Ini ramuan pemandu teksi cantik.

"Saya berharap pemandu teksi memberi kerjasama sepenuhnya untuk menjayakan transformasi ini kerana pada akhirnya pembaharuan ini membawa manfaat kepada pemandu teksi itu sendiri," katanya.

Beliau berucap merasmikan penyampaian lesen teksi individu kepada kumpulan terakhir sebanyak 500 pemandu teksi sebagai menepati janji memberi 1,000 lesen individu yang dibuat Mac lalu.

Dalam majlis tersebut, Najib turut melancarkan model baharu Teksi 1Malaysia (TEKS1M) yang menggunakan Proton Exora.

Yang turut hadir, Pengerusi SPAD, Tan Sri Syed Hamid Albar dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton Holding Berhad, Datuk Lukman Ibrahim.

Dalam pada itu, Najib memberitahu, teksi Proton Exora yang dioperasikan 1,000 pemandu teksi individu akan mula berada di jalan raya mulai September ini dengan Kuala Lumpur, Johor Bharu dan Pulau Pinang akan menjadi lokasi utama.

"Tahun depan merupakan Tahun Melawat Malaysia dan peranan pemandu teksi dalam menawarkan perkhidmatan terbaik amat penting bukan sahaja kepada pengguna tempatan tetapi pelancong asing.

"Jadi saya berharap pemandu teksi memainkan peranan ini kerana di pihak kerajaan, kita sentiasa prihatin dan yakin banyak lagi inisiatif bakal dilakukan termasuk menilai semula tambang teksi pada masa akan datang," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment