My Add

Friday 19 July 2013

Pemborong, penternak akur keputusan kerajaan berhubung harga siling ayam

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 18 Julai, 2013: Penternak dan pemborong ayam akan mematuhi sebarang keputusan kerajaan berhubung harga siling ayam bagi menstabilkan harga bekalan makanan tersebut di pasaran.

Presiden Persekutuan Persatuan-Persatuan Penternak Malaysia, Kwei Yew Thong berkata, pihaknya memahami kerajaan perlu menetapkan harga siling bagi bekalan tersebut setiap tahun.

"Kita akan mengikut apa sahaja yang diputuskan kerajaan dalam menentukan harga ayam di pasaran kerana setiap tahun pasti akan ada penetapan dibuat selepas kenaikan berlaku," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau mengulas berkenaan penetapan harga siling ayam oleh kerajaan pada pertengahan Ramadan ini untuk dikuatkuasakan selama 15 hari bagi menyelesaikan masalah kenaikan harga bahan tersebut.

Dalam pada itu, beliau berkata, pengguna tidak perlu risau dengan bekalan ayam tempatan untuk keperluan sepanjang Ramadan dan Syawal kerana bekalan tersebut mencukupi.

Sementara itu, bekas Penasihat Persatuan Pemborong Ayam Itik Wilayah Persekutuan, Datuk Lee Chong Meng berharap kerajaan dapat menetapkan harga siling ayam mengikut harga pasaran ketika ini.

"Saya berharap kerajaan dapat menetapkan harga tidak terlalu rendah daripada harga pasaran sekarang kerana jika ditetapkan kurang daripada RM6, penternak dan pemborong akan mengalami kerugian," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment