My Add

Monday 15 July 2013

Pemimpin politik perlu bersatu, martabatkan kedudukan Islam

SHAH ALAM , AHAD, 14 Julai, 2013: Umat Islam di negara ini terutama dalam kalangan pemimpin politik digesa kembali bersatu sekiranya mereka mahu kedudukan serta maruah Islam terus dimartabatkan.

Presiden Pertubuhan Ikatan Kebajikan dan Dakwah Selangor (IKDDS), Rosdi Long berkata, perpaduan penting setelah pihaknya melihat wujud pelbagai cubaan pihak tertentu yang dilihat mahu mencabar serta mempertikaikan kedudukan Islam sebagai agama rasmi negara sama ada dari segi perundangan atau pendidikan.

"Terbaharu seorang Ahli Parlimen DAP mempertikaikan pengajaran subjek Tamadun Islam sebagai subjek wajib kepada penuntut institusi pengajian tinggi (IPT).

"Soalnya mengapa subjek berkaitan Islam dijadikan sasaran sedangkan tamadun Islam membuktikan sejarah dan pencapaian umat Islam dalam pelbagai bidang baik dari segi perubatan, kejuruteraan dan sebagainya sehingga menjadi rujukan utama para sarjana Barat sehingga ke hari ini," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Ahli Parlimen Kampar, Dr. Ko Chung Sen dilaporkan menggesa Kementerian Pendidikan menarik balik Tamadun Islam sebagai subjek wajib kepada pelajar universiti swasta.

Beliau berkata, tidak ada satu pun universiti dalam dunia mewajibkan subjek berkaitan agama sebagai wajib untuk dipelajari.

Rosdi berkata, umat Islam berhadapan dengan desakan pihak tertentu terhadap perkara yang membabitkan kepentingan Islam sehingga kerajaan mengambil keputusan menarik balik pembentangan Rang Undang-Undang Pentadbiran Agama Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 2013 yang membenarkan ibu atau bapa yang memeluk Islam menentukan agama anak adalah Islam selepas dibaca kali pertama di Dewan Rakyat, 26 Jun lalu.

"Kita melihat ini sebagai cabaran kepada umat Islam dan pihak mencabar, berani berbuat demikian setelah melihat umat Islam ketika ini dalam keadaan lemah dan berpecah-belah dari segi kuasa politiknya.

"Kita melihat kuasa politik amat penting kerana tanpa kuasa tidak mungkin Islam dapat dimartabatkan apatah lagi untuk memelihara kesejahteraan umatnya," katanya.

Beliau berkata, sekiranya umat Islam di negara ini terus bercakaran termasuk dari segi ideologi politik, pihaknya percaya akan timbul lebih banyak cabaran atau desakan pihak tertentu yang mahu menggugat kedudukan Islam serta akidah umat Islam pada masa depan.

"Sebab itu, kita sangat berharap umat Islam khususnya pemimpin politik bersatu demi kepentingan Islam dan umatnya," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment