My Add

Monday 15 July 2013

Pengecas turbo meletup punca MT Samudera terbakar

 * PIHAK berkuasa menjalankan kerja-kerja menyejukkan kapal dan memadamkan api di kapal MT Samudera di perairan Selatan Pulau Kukup, dekat Pontian hari ini. - UTUSAN
PONTIAN, ISNIN, 15 Julai, 2013: Kebakaran kapal MT Samudera di perairan Selatan Pulau Kukup dekat sini semalam dipercayai berpunca daripada pengecas turbo di bilik enjin kapal itu yang meletup.

Kebakaran itu disedari anak kapal kira-kira pukul 3.30 petang dan mereka segera menghubungi pengawal pantai serta pihak berkuasa maritim bagi mendapatkan bantuan.

Salah seorang anak kapal yang dikenali sebagai Pardeep, 27, memberitahu, sebaik sahaja pihak berkuasa sampai, mereka semua diarah mengosongkan kapal.

"Semua anak kapal ikut arahan itu bagi menyelamatkan diri," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Terminal Jeti Antarabangsa Kukup hari ini.

Kapal MT Samudera yang dalam perjalanan dari Batam, Indonesia ke Chittagong, Bangladesh terbakar pada kedudukan 2.6 batu nautika (4.8 kilometer) dari Pulau Kukup semalam

Dalam kejadian itu, seramai 22 anak kapal berjaya diselamatkan manakala seorang maut dipercayai selepas terperangkap di dalam bilik enjin kapal tersebut.

Sementara itu, Ketua Penguat Kuasa, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Johor Bahru, Kepten Maritim Aminuddin Abd. Rashid berkata, ketika ini kerja-kerja menyejukkan kapal serta memadam kebakaran sedang dijalankan.

Beliau berkata, pihaknya percaya kebakaran kecil masih lagi berlaku dan kerja-kerja menyejukkan kapal dilakukan bagi mengelakkan kebakaran itu daripada terus merebak.

"Hanya 40 peratus kapal berkenaan terbakar melibatkan bahagian anjung serta kabin manakala bahagian-bahagian lain tidak terjejas. Kerja menyejukkan kapal dijangka siap sepenuhnya petang ini dan sekiranya mendapat kebenaran Jabatan Bomba dan Penyelamat, kami akan meneruskan kerja-kerja mencari mangsa yang hilang.

"Berdasarkan pemantauan dari udara dan laut bersama Jabatan Alam Sekitar mendapati tiada kesan tumpahan minyak di sekitar kawasan kebakaran," katanya lagi. - UTUSAN ONLINE 

No comments:

Post a Comment