My Add

Thursday 11 July 2013

Pengeluaran KWSP 2012 meningkat kepada RM32.98 bilion

KUALA LUMPUR, RABU, 10 Julai, 2013: Pengeluaran daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tahun lepas meningkat kepada RM32.98 bilion, naik 10.30 peratus daripada RM29.90 bilion pada 2011.

KWSP dalam Laporan Tahunan 2012 yang dibentangkan di Parlimen hari ini menunjukkan bahawa pengeluaran utama adalah daripada kumpulan berusia 55 tahun sebanyak RM12.19 bilion, diikuti RM6.64 bilion pengeluaran bagi pelaburan.

Laporan itu juga menyatakan, 99.95 peratus permohonan pengeluaran yang menggunakan pendekatan 'tanpa gangguan' diluluskan dan dikreditkan ke dalam akaun bank ahli dalam masa empat hari.

"Ahli kami dan majikan adalah sebab KWSP wujud. Kami memberi keutamaan untuk menyediakan kepada mereka secara profesional, memastikan keperluan mereka dipenuhi dengan efisien dan efektif," kata Pengerusi KWSP, Tan Sri Samsudin Osman dalam satu kenyataan.

KWSP berusaha bersungguh-sungguh untuk menambah baik pengalaman pelanggan apabila ia mengukuhkan proses dan sistem bagi memudahkan ahli dan majikan melaksanakan urus niaga dengan cepat.

Beberapa inisiatif dilaksanakan oleh KWSP untuk meningkatkan pengalaman pelanggan ke tahap lebih tinggi yang memenuhi dan mengatasi jangkaan mereka.

"Ahli-ahli semakin celik IT. Pelbagai inisiatif telah diperkenalkan untuk membolehkan mereka berkomunikasi dengan KWSP menerusi elektronik dan menjalankan urus niaga tertentu secara dalam talian," kata KWSP.

Semasa tahun itu, KWSP memulakan pelbagai inisiatif ICT untuk mempercepat pembayaran dan menyepadukan prosesnya dengan pihak ketiga dan rakan kongsi, seperti agensi kerajaan dan institusi kewangan, termasuk bank-bank dan syarikat saham amanah.

Hasilnya, KWSP kini boleh mengkreditkan pembayaran pengeluaran terus ke akaun bank ahli, mengesahkan permohonan pinjaman perumahan dengan bank-bank relevan secara dalam talian, menerima pembayaran caruman secara dalam talian dan memindahkan kredit bagi institusi pengurusan dana bagi pengeluaran pelaburan.

KWSP juga berupaya memproses lebih 13 juta urus niaga untuk mengkreditkan dividen tahunan ke dalam akaun setiap ahli dengan cepat, dengan hasil dipaparkan dalam penyata akaun mereka pada hari kadar dividen diumumkan. -BERNAMA 

No comments:

Post a Comment