My Add

Sunday 28 July 2013

Pengerusi MyWatch parah ditembak

Oleh SAJIDA ASRULLAH KHAN

JEMPOL, SABTU, 27 Julai, 2013: Pengerusi sebuah badan bukan kerajaan (NGO), MyWatch, R. Sri Sanjeevan cedera parah akibat ditembak seorang daripada dua lelaki bermotosikal di pekan Bahau dekat sini petang ini.

Ketua Polis Daerah Jempol, Supritendan Hamzah Alias berkata, kejadian kira-kira pukul 4.30 petang itu berlaku ketika mangsa yang memandu kereta jenis BMW bersama seorang rakannya berhenti di satu lampu isyarat berhampiran Taman Cempaka di sini.

Katanya, setibanya di situ, mangsa kebetulan membuka cermin tingkap keretanya sebelum muncul dua lelaki menaiki sebuah motosikal lalu mengeluarkan sepucuk pistol dan melepaskan tembakan.

"Tembakan itu menembusi tangan kanan mangsa sehingga ke perutnya. Dalam keadaan kesakitan, mangsa memecut kenderaannya dan berhenti kira-kira 100 meter dari lokasi kejadian.

"Rakan mangsa kemudian memandu kereta itu ke Hospital Jempol sejauh 15 kilometer untuk mendapatkan rawatan lanjut," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Tambah beliau, mangsa kemudian diberi rawatan kecemasan sebelum dipindahkan ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah, Kuala Pilah.

"Buat masa ini keadaan mangsa dilaporkan stabil dan rakan mangsa sudah membuat laporan polis berhubung kejadian itu," jelasnya.

Menurut beliau, pihak polis kini sedang menyiasat motif kejadian dan sedang mengenal pasti suspek. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment