My Add

Friday 19 July 2013

Penggabungan dua kementerian beri kesan positif

BESUT, KHAMIS, 18 Julai, 2013: Penggabungan Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi telah membuka banyak ruang kerjasama bagi membolehkan pelaksanaan program berkualiti secara lebih meluas ke arah melahirkan golongan pelajar yang lebih cemerlang dan seimbang.

Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, usaha itu juga memberi peluang kepada golongan cendekiawan di kedua-dua kementerian memperturunkan ilmu dan pengalaman kepada golongan sasar termasuk guru dan pelajar.

Dalam masa sama, katanya, institusi pengajian tinggi yang mempunyai kemahiran dalam bidang tertentu boleh memperluaskan ilmu untuk dikongsi bersama supaya dapat dimanfaatkan oleh pelajar untuk memperolehi kejayaan.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Besut berkata demikian ketika ditemui selepas Program Bicara Intelektual Bersama Menteri Pendidikan II di Institut Perguruan Guru Malaysia (IPGM) Kampus Sultan Mizan, dekat sini hari ini.

Program yang turut dihadiri oleh Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Abdul Ghafar Mahmud itu disertai oleh lebih 500 guru dan anggota kumpulan sokongan (AKS).

Mengulas lanjut, Idris berkata, pihak Universiti Sains Malaysia (USM) sedang mengatur program Brain Bee iaitu melibatkan sebuah sekolah menengah dan rendah di Kuala Besut yang memberi fokus kepada usaha meningkatkan minat pelajar dalam bidang sains dan teknologi.

Langkah itu, katanya, merupakan satu usaha dalam melahirkan golongan pelajar yang memiliki pemikiran aras tinggi ke arah menjadi pelajar yang berkualiti dan cemerlang bukan sahaja dalam bidang pendidikan malah sahsiah diri.

Terdahulu dalam ucapannya beliau berkata, guru merupakan satu kerjaya hebat kerana tugas itu bukan sekadar menyampaikan ilmu sebaliknya bertanggungjawab membentuk akhlak pelajar.

Bagaimanapun tambahnya ada guru yang masih tidak menyedari bahawa tugas dan tanggungjawab yang mereka sandang merupakan satu tugas mulia di sisi agama. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment