My Add

Thursday 18 July 2013

Penjenayah bersenjata larikan RM27,000

KOTA BHARU, RABU, 17 Julai, 2013: Seorang ejen kutipan wanita dan lima ahli Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) cawangan Kampung Pauh Butut, Peringat di sini tersentak selepas dua penjenayah bersenjatakan parang meluru masuk ke pondok aktiviti mereka dan melarikan beg mengandungi wang tunai kira-kira RM27,000 semalam.

Dalam kejadian pukul 12 tengah hari itu, ejen berkenaan bersama lima orang yang lain sedang membuat pengiraan jumlah wang kutipan sebelum penjenayah berkenaan muncul.

Setiausaha AIM kampung berkenaan, Nor Baizura Berhaudin, 31, memberitahu, AIM cawangan tersebut mempunyai hampir 120 orang ahli dan hari Selasa setiap minggu bermula 9 hingga 11.30 pagi merupakan waktu untuk pihak AIM memungut kutipan pinjaman daripada ahli-ahlinya.

"Semasa kejadian tidak ramai ahli yang ada kerana kebanyakan sudah pulang dan ketika itu saya, ejen kutipan dan beberapa ahli sahaja yang ada sedang membuat pengiraan wang kutipan pinjaman.

"Tiba-tiba sebuah kereta Proton Waja berwarna perak dinaiki tiga lelaki berhenti di depan pondok kami. Dua lelaki bersenjatakan parang turun dan meluru masuk, seorang daripada mereka bertopeng. Pemandu yang berada dalam kereta juga bertopeng," katanya ketika ditemui di tempat kejadian hari ini.

Tambahnya, kedua-dua lelaki berkenaan cuba merampas beg sandang milik ejen kutipan berkenaan yang disembunyikan di bawah sebuah meja sebelum berlaku pergelutan kerana ejen terbabit enggan menyerahkan beg itu.

Katanya, ketika bergelut, kedua-dua penjenayah itu mengacukan parang di leher ejen kutipan itu menyebabkan dia terpaksa mengalah dan menyerahkan beg sebelum kesemua mereka melarikan diri.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Azham Othman mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian berkenaan dan pihaknya sedang melakukan siasatan termasuk memburu ketiga-tiga suspek.

Berdasarkan laporan katanya, jumlah wang kutipan yang dilarikan adalah RM25,481 sementara wang milik ejen berkenaan sebanyak RM700 bersama beberapa dokumen peribadi miliknya dan telefon bimbit yang berada di dalam beg sandang. - UTUSAN ONLINE 

No comments:

Post a Comment