My Add

Wednesday 17 July 2013

Perkasa tolak permohonan maaf

Oleh HUSSAINI AMRAN

 Ibrahim Ali
KUALA LUMPUR , SELASA, 16 Julai, 2013: Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) menolak permohonan maaf pasangan Alvin Tan dan Vivian Lee yang mempersendakan bulan Ramadan dan menyinggung sensitiviti umat Islam di Facebook.

Presidennya, Datuk Ibrahim Ali berkata, perbuatan menghina Islam seperti yang dilakukan Alvin dan Vivian itu tidak boleh dibiarkan terlepas begitu sahaja.

Menurut beliau, kerajaan perlu mengambil tindakan tegas mengikut peruntukan undang-undang sedia ada ke atas pasangan terbabit.

"Semua kesalahan boleh selesai dengan minta maaf sahaja. Adakah ini sudah menjadi budaya di Malaysia?

"Ambil tindakan undang-undang dahulu dan selepas itu terpulang kepada mahkamah untuk menentukan. Kalau hendak minta maaf pun, biarlah di mahkamah," katanya pada sidang akhbar di Pinggiran Taman Tun Dr. Ismail di sini hari ini.

Alvin dan Vivian yang sebelum ini telah beberapa kali memuat naik aksi seks mereka di laman sosial bertindak memaparkan gambar mereka di Facebook sedang menikmati hidangan babi dengan kapsyen 'Selamat berbuka puasa dengan Bak Kut Teh (sup tulang babi)... Wangi, enak dan menyelerakan' lengkap dengan logo halal.

Pasangan itu telah membuat permohonan maaf menerusi rakaman video yang dimuat naik ke YouTube namun umat Islam yang marah dengan perbuatan biadab mereka menggesa kerajaan mengambil tindakan tegas.

Ibrahim menambah, perbuatan menghina Islam yang pernah berlaku beberapa kali sebelum ini tidak boleh dibiarkan berulang.

"Saya bimbang apabila sampai suatu masa nanti rakyat sendiri akan ambil tindakan. Jangan biarkan perkara itu berlaku," ujarnya.

Beliau memberitahu, umat Islam yang memberi reaksi terhadap perbuatan menghina Islam tidak sewajarnya dilabel sebagai rasis dan ekstremis.

"Kita dituduh rasis dan ekstremis tetapi siapakah yang memulakan dahulu perbuatan biadab ini?" katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment