My Add

Sunday 28 July 2013

Persidangan mengenai Pulau Pinang sebagai bekas pelabuhan jemaah haji

KUALA LUMPUR, AHAD, 28 Julai, 2013: Satu persidangan antarabangsa mengenai 'Pulau Pinang dan Haji' yang memperkatakan tentang keutamaan Pulau Pinang sebagai pelabuhan penghantaran jemaah haji seawal abad ke-18 akan diadakan di Pulau Pinang bulan depan.

Menurut satu kenyataan, ia akan diadakan selama dua hari mulai 17 Ogos di Hotel E&O, George Town. Persidangan dianjurkan oleh Persatuan Warisan Pulau Pinang atau Penang

Heritage Trust dan subsidiari Khazanah Nasional Berhad, Think City Sdn Bhd yang
akan turut mengupas tentang perkembangan perniagaan sheikh-sheikh haji,
kewujudan industri perkhidmatan dan aktiviti perkapalan yang tumbuh selari
dengan peranan pelabuhan itu.

Bukan itu saja, persidangan akan turut meninjau tentang perubahan yang
dijelmakan hasil kepulangan para jemaah dari Makkah, dari sudut agama dan sosiobudaya.

"Seperti pembaharuan Islam dan perubahan dalam pendidikan agama dan
pengajian madrasah, timbulnya idea-idea pan-Islamik, ideologi antipenjajahan dan
kolonialisme, yang membabitkan Pulau Pinang dan rantau ini," kata kenyataan itu.

Ribuan bakal haji yang datang dari negeri-negeri di utara Semenanjung
termasuk dari selatan Thailand dan Sumatera telah menggunakan Pelabuhan Pulau
Pinang untuk menunaikan rukun Islam kelima di Makkah.

Namun perkembangan aktviti haji yang berpusat di sekitar pelabuhan, Jalan
Acheh dan kawasan sekitarnya berakhir sekitar 1970-an, berikutan perkembangan
perkhidmatan udara yang lebih menyenangkan.

Pada masa sama wujud Lembaga Tabung Haji yang dapat mengurus pemergian
bakal-bakal haji terutama dari Malaysia ke Makkah dengan lebih sempurna.

Kira-kira 20 penceramah dari Amerika Syarikat, United Kingdom, Belanda, New
Zealand, Indonesia, Thailand dan Malaysia akan membentangkan kertas kerja
mereka, antaranya profesor sejarah dari Universiti Cornell, Prof Eric
Tagliocozzo yang akan menyampaikan ucaptama bertajuk 'The Material World of the
Hajj in Colonial-Era Southeast Asia'.

Prof E Ulrich Kratz dari Universiti London (Islam on Pulau Pinang: Some
Early Evidence), Suryadi dari Universiti Leiden (A critical voice on Hajj by a
Sumatran Pilgrim) dan Dha Endar Moeda (Perdjalanan ke Tanah Tjoety).

Pembentang dari Malaysia pula terdiri daripada Dr Shanti Moorty dari kampus
Universiti Monash, Malaysia (The Hajj as a cosmopolitan practice), Abdul-Razzaq
Lubis (Mandailing on Hajj) dan Dr Aiza Maslan@Baharudin dari Universiti Sains
Malaysia (Aktiviti Haji dan Perkembangan Pentadbiran di Pulau Pinang).

Persidangan bermula dari jam 9 pagi hingga 5 petang dengan yuran
penyertaan antara RM150 hingga RM250 seorang.

Pendaftaran boleh dibuat secara dalam talian di www.pht.org.my. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment