My Add

Tuesday 16 July 2013

Pihak berkuasa perlu kenakan tindakan sewajarnya

KUALA LUMPUR, ISNIN, 15 Julai, 2013: Pihak berkuasa perlu mengenakan tindakan sewajarnya kepada pasangan Alvin Tan Jye Yee, 25, dan Vivian Lee, 24, mengikut peruntukan undang-undang sedia ada tanpa ‘membebaskan’ mereka hanya dengan permohonan maaf.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaludin berkata, kes penghinaan terhadap Islam menerusi laman sosial Facebook itu amat serius kerana telah menimbulkan kemarahan umat Islam.

Jelas beliau, ini bukan masanya sekadar mengambil keterangan atau memberikan alasan tidak ada cukup bukti untuk mengambil tindakan kerana perbuatan biadab jelas berlaku di depan mata.

“Tindakan perlu diambil juga walaupun mereka telah meminta maaf supaya orang tidak menganggap perkara itu selesai dengan memohon maaf.

“Jika tidak, ini boleh membuka ruang kepada semua untuk bercakap apa sahaja yang boleh mengguris hati masyarakat. Tindakan tegas dan cepat perlu diambil supaya memberikan pengajaran setimpal,’’ katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau mengulas pasangan Alvin dan Vivian yang hadir di pejabat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) hari ini untuk memberikan keterangan berhubung tindakan memuat naik gambar mereka menikmati hidangan dengan kapsyen Selamat Berbuka Puasa dengan Bak Kut Teh (sup tulang babi)... Wangi, enak dan menyelerakan di laman Facebook mereka sehingga menyebabkan kemarahan umat Islam.

Khairy yang juga Menteri Belia dan Sukan turut meminta agar pihak berkuasa tidak memilih bulu dalam mengambil tindakan terhadap sesiapa sahaja yang membuat kenyataan atau perilaku yang menyentuh sensitiviti agama lain.

Sementara itu, mengulas isu kenyataan Duta Vatican City ke Malaysia, Biskop Joseph Marino, beliau menegaskan, Wisma Putra didesak mengeluarkan nota bantahan kepada Kerajaan Vatican City sebagai tanda protes terhadap campur tangan itu.

“Ini soal campur tangan, sama ada perkara ini dipersetujui atau tidak (penggunaan kalimah Allah) tetapi masih dalam proses mahkamah negara ini.

“Nota bantahan itu sebagai memberikan kenyataan agar Marino tidak lagi mengeluarkan kenyataan yang boleh merumitkan lagi keadaan, selain tidak langsung membantu kita,’’ katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment