My Add

Wednesday 24 July 2013

PM edar bubur lambuk Kampung Baru

 * NAJIB Tun Razak menerima hadiah bubur lambuk sempena hari jadi beliau daripada Idris Shaari Mat Aris ketika menghadiri majlis penyampaian bubur lambuk kepada orang ramai di pekarangan Masjid Jamek Kampung Baru, Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN / AHMAD AMZAR ANAQI JAMZIT (PELATIH UITM)
KUALA LUMPUR, SELASA, 23 Julai, 2013: Di sebalik kesibukan tugas, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak meluangkan masa sempena Ramadan untuk bersedekah serta mengedarkan bubur lambuk terkemuka Masjid Jamek Kampung Baru kepada masyarakat sekitar di sini hari ini.

Beliau yang menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-60 hari ini tiba kira-kira pukul 4.45 petang, turut berkesempatan menunaikan solat Asar secara berjemaah dengan masyarakat sekitar yang diimamkan seorang daripada imam masjid berkenaan, Muhd. Afiq Masron.

Selesai solat, imam tersebut turut memimpin doa bagi kesejahteraan Perdana Menteri supaya pemimpin berkenaan dapat melaksanakan tugas dengan baik.

Pengerusi masjid itu, Datuk Idris Shaari Mat Aris ketika bercakap kepada pemberita memberitahu, Najib pada tahun ini menyumbangkan sebanyak 140 periuk bubur lambuk iaitu bersamaan 5,000 bungkus.

"Perdana Menteri biasanya menyumbangkan 100 periuk bubur lambuk sepanjang kira-kira tujuh tahun lalu tetapi hari ini 140 periuk yang mana 40 periuk lagi diberi kepada Masjid Ar-Rahah di Lembah Pantai di sini.

"Datuk Seri Najib mempunyai hubungan istimewa di sini iaitu bonda beliau (Tun Rahah Tan Sri Mohammad Noah) pernah menjadi Pengerusi Kaum Ibu Masjid Jamek Kampung Baru suatu ketika dahulu," katanya.

Pada majlis itu juga, Idris yang mewakili warga Masjid Jamek Kampung Baru menyampaikan hadiah bubur lambuk dalam bekas kristal sempena hari jadi Najib. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment