My Add

Thursday 18 July 2013

PM percaya AECdi landasan betul

PETALING JAYA, KHAMIS, 18 Julai, 2013: Datuk Seri Najib Tun Razak percaya perjalanan ke arah pembentukan Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) pada 2015 berada di landasan betul dan tidak patut berpatah balik.

Dalam perutusan kepada peserta Forum Kepimpinan ASEAN Ke-10, Perdana Menteri berkata, pembentukan AEC dan bermulanya rundingan berhubung Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) untuk mewujudkan perjanjian perdagangan bebas (FTA) dunia terbesar, menghidangkan prospek yang menarik untuk ASEAN.

"ASEAN telah mencapai pelbagai kejayaan dan tiga tahun lagi, akan terbentuklah Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) iaitu pada 2015, apabila Malaysia menjadi pengerusi pertubuhan serantu ini.

"Saya percaya perjalanan ke arah AEC berada di landasan betul dan tidak patut berpatah balik," katanya.

Forum sehari itu, yang bertajuk "ASEAN Di Persimpangan Jalan - Ke Arah Masa Depan Bersama, Perkongsian Kemakmuran dan Kestabilan Serantau", dirasmikan bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi di sini hari ini.

Najib berkata, peningkatan proses penyerantauan menambah dengan ketara jumlah dagangan antara sesama negara anggota ASEAN dan antara ASEAN dengan rakan utamanya seperti China, Jepun dan India.

"Hari ini, China merupakan rakan perdagangan terbesar Asean. KDNK ASEAN pada 2011 melebihi AS$2 trilion dan dijangka mencapai AS$10 trilion menjelang 2030," katanya.

Beliau berkata, ASEAN menawarkan banyak peluang perniagaan dan pelaburan kepada sektor swasta dari dalam dan luar wilayahnya.

"ASEAN mempunyai masa depan yang cerah dan masyarakat peniaga sepatutnya dapat melihat wujudnya potensi integrasi serantau yang semakin berkembang.

"Oleh itu, saya menyambut baik inisiatif Institut Strategi dan Kepimpinan (Asli) menganjurkan siri Forum Kepimpinan ASEAN ini secara tahunan," katanya.

Najib juga menegaskan tentang pentingnya ASEAN memberi fokus terhadap generasi muda, pelaburan dalam pembangunan insan, inovasi dan kreativiti seperti yang diperkatakan pada Forum Kepimpinan ASEAN di Phnom Penh, Kemboja tahun lepas.

"Semua ini terus merupakan cabaran besar dalam memastikan Asean tetap mempunyai daya saing dalam ekonomi global," katanya. - BERNAMA 

No comments:

Post a Comment