My Add

Monday 15 July 2013

Polis beri amaran kepada individu sebar maklumat palsu

 A. Thaiveegan
KLANG. AHAD, 14 Julai, 2013: Polis memberi amaran akan bertindak tegas terhadap individu yang menyebarkan maklumat palsu berhubung rusuhan kaum di kawasan Klang Utara ekoran kejadian kes pergaduhan di Flat Rebana, Klang Utama di sini pada Khamis lalu.

Pemangku Ketua Polis Selangor, Datuk A. Thaiveegan berkata, pihaknya mendapati terdapat sesetengah individu yang sengaja menyebarkan khabar angin mengatakan pergaduhan terbabit merupakan isu perkauman.

Beliau berkata, tindakan individu terbabit menyebarkan maklumat palsu sama ada melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) atau laman sosial Facebook boleh menggusarkan masyarakat setempat.

"Jika didapati bersalah mereka boleh dikenakan tindakan undang-undang iaitu peruntukan di bawah Seksyen 233 (1) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

"Polis menyarankan kepada orang awam jika terdapat sebarang kemusykilan terus datang ke Ibu Pejabat Polis (IPD) Klang Utara atau mana-mana balai polis berhampiran dan jangan membuat tanggapan sendiri," katanya kepada pemberita di IPD Klang Utara hari ini.

Khabar angin mengenai rusuhan kaum itu tersebar kelmarin kononnya kaum India beramai-ramai berkumpul di satu lokasi untuk menyerang orang Melayu dengan serangan dikatakan bermula dari Jalan Haji Manan, Kapar di sini melalui Jalan Sungai Keramat sehingga ke kawasan lain.

Berdasarkan laporan, kejadian pergaduhan antara dua kumpulan di Flat Rebana, Bandar Baru Bukit Raja pada Khamis lalu pukul 10.45 malam itu berpunca daripada salah faham susulan satu kemalangan membabitkan sebuah motosikal dan kereta di Persiaran Sungai Keramat, Sungai Utama di sini pada malam Rabu lalu.

Kemalangan melibatkan dua beradik berusia lingkungan 20-an yang menunggang sebuah motosikal dilanggar sebuah kereta dinaiki empat lelaki di Jalan Sungai Keramat sehingga mencetuskan perang mulut sebelum kumpulan yang menaiki kereta bertindak menetak si abang dengan senjata tajam.

Akibat tidak berpuas hati, keesokan harinya beberapa orang rakan mangsa bertindak menyerang beberapa lelaki di Flat Rebana, Klang Utama di sini dipercayai individu yang mencederakan rakan mereka yang terlibat dalam kemalangan tersebut.

Thaiveegan menjelaskan, kejadian tersebut menunjukkan pergaduhan itu bukan bermotif perkauman atau rusuhan kaum sebaliknya berpunca daripada salah faham ketika kemalangan dan polis telah menahan tiga suspek berusia 24 hingga 35 tahun yang disyaki terlibat dalam kes ini.

Beliau juga menolak khabar angin mengatakan kejadian serangan ke atas tiga pemuda yang sedang minum di sebuah kedai di Taman Ismail, Sungai Pinang awal pagi ini oleh sekumpulan lelaki mempunyai kaitan dengan insiden pergaduhan tersebut.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2 pagi itu, sekumpulan lelaki menaiki motosikal menyerang mangsa kerana dipercayai terlibat dengan kes bakar motosikal pada Februari lalu di kawasan sekitar Klang.

"Salah seorang daripada mangsa mengaku membakar motosikal suspek telah dipukul dipercayai menggunakan kayu besbol dan parang manakala dua lagi rakannya turut dipukul sehingga menyebabkan kesemua mangsa mengalami kecederaan di kepala dan badan," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment