My Add

Monday 15 July 2013

Polis marin rampas mercun, bunga api bernilai RM15,000

MUAR, ISNIN, 15 Julai, 2013: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua merampas 26 kotak pelbagai jenis mercun dan bunga api bernilai RM15,000 dalam serbuan di sebuah rumah kosong di Jalan Sungai Balang di sini, hari ini.

Pegawai Pemerintah PPM Wilayah Dua Muar, Asisten Nordin Osman, berkata serbuan dilakukan pada jam 8 pagi berdasarkan maklumat orang ramai mengenai pengedaran barangan larangan terbabit.

Beliau berkata, PPM bertindak memecah masuk rumah itu apabila mendapati tiada sesiapa di dalam premis itu selepas menunggu beberapa jam.

"Hasil pemeriksaan kemudian menemui 26 kotak besar berisi pelbagai jenis mercun dan bunga api tersimpan di bahagian tengah rumah," katanya kepada pemberita di sini.

Nordin berkata, setakat ini belum ada sebarang tangkapan berhubung rampasan itu dan siasatan sedang diteruskan untuk mengesan penyewa dan pemilik premis yang bertanggungjawab.

Beliau berkata, pihaknya percaya kesemua mercun dan bunga api yang dibawa masuk dari China itu adalah untuk diedarkan kepada peniaga yang menjual mercun dan bunga api di sekitar Parit Jawa, di sini dan Semerah di Batu Pahat.

Katanya, polis percaya pihak yang terbabit baru sahaja memulakan kegiatan pengedaran mercun dan bunga api terbabit berdasarkan penemuan resit transaksi pembelian bernilai RM6,000 yang ditemui di rumah itu. 

"Rampasan ini adalah yang pertama sejak Ramadan bermula lima hari lepas dan taktik menyimpan di rumah kosong itu merupakan taktik terbaru," katanya.

Menurutnya, mereka yang terbabit dengan kegiatan seumpama itu sebelum ini menjadikan tapak semaian pokok sebagai tempat menyimpan barangan itu bagi mengaburi pihak berkuasa. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment