My Add

Sunday 14 July 2013

Polis nasihat penduduk Kuala Besut tidak takut buat kerja harian

JERTIH, AHAD, 14 Julai, 2013: Polis menasihatkan penduduk di Kuala Besut supaya tidak takut untuk keluar rumah dan menjalankan aktiviti harian mereka seperti biasa.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Kamaruddin Mohamad Zakaria, berkata polis sentiasa memantau dan menjalankan rondaan 24 jam.

"Malah anggota trafik juga ditugaskan untuk mengawal keadaan lalu lintas," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Besut di sini, sebentar tadi.

Kamaruddin berkata, setakat ini, pihaknya tidak menerima sebarang aduan daripada orang ramai termasuk berbentuk ugutan.

Sehingga pagi ini, katanya, polis tidak menerima sebarang laporan berkaitan dengan apa-apa insiden.

"Polis yakin masyarakat di sini dapat menilai dan mengambil langkah yang bijak sebelum membuat sesuatu keputusan atau perkara berdasarkan daripada pengalaman Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) yang lalu.

"Saya ingin mengingatkan sekali lagi kepada calon supaya jangan membawa apa-apa jenis senjata, bahan-bahan letupan semasa berkempen dan penyokong parti juga dilarang membabitkan kanak-kanak dalam apa juga aktiviti yang diadakan," katanya.

Sementara itu, Kamaruddin menasihatkan orang ramai supaya jangan mudah percaya dengan sebarang khabar angin yang disebarkan.

"Sebarang kemusykilan hendaklah dirujuk kepada polis atau saya sendiri di talian 09-6950595," katanya. - BH

No comments:

Post a Comment