My Add

Sunday 14 July 2013

Polis siasat penemuan mayat rentung

SANDAKAN, SABTU, 13 Julai, 2013: Misteri penemuan mayat seorang wanita rentung dalam kebakaran sebuah rumah teres di Taman Indah Jaya di sini malam tadi mencetus tanda tanya kemungkinan berlaku unsur jenayah dalam kematian wanita terbabit.

Polis sedang menyiasat bagi mengenal pasti identiti mangsa termasuk mengambil contoh asid deoksiribonukleik (DNA) daripada ahli keluarganya.

Timbalan Ketua Polis daerah, Supritendan Fadzil Mohd. Ali berkata, siasatan ditumpukan kepada pelbagai aspek termasuk kebarangkalian wujudnya unsur-unsur jenayah dalam kebakaran itu.

"Pasukan forensik sedang mengumpul maklumat-maklumat penting di lokasi kejadian bagi mencari petunjuk atau punca kebakaran itu," katanya hari ini.

Menurut seorang jiran yang enggan dikenali, rumah itu didiami seorang kakitangan Jabatan Perhutanan Sabah, Hasna Astan, 42, seorang ibu tunggal bersama dengan dua orang anaknya berusia tujuh dan lapan tahun.

Difahamkan semasa kebakaran berlaku, kedua-dua anak Hasna tiada di rumah manakala kereta wanita itu juga tidak kelihatan di sekitar kawasan rumah berkenaan.

Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Sandakan, Dewi Ensoi berkata, maklumat awal yang diterima mendapati si mati hanya bersendirian di rumah tersebut ketika kebakaran berlaku.

"Pihak kami menerima maklumat mengenai kejadian itu kira-kira pukul 8.18 malam sebelum dua jentera dengan kekuatan 16 pegawai dan anggota dikejarkan ke lokasi. Hanya 60 peratus bahagian rumah terbakar selepas kami berjaya memadamkan api di bahagian bawah rumah.

"Bagaimanapun selepas pemeriksaan dibuat, kami menemui mayat seorang wanita dalam keadaan rentung dalam sebuah bilik di tingkat atas," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment