My Add

Wednesday 10 July 2013

PRK Besut: Polis minta parti politik patuh peraturan

IPOH, SELASA, 09 Julai, 2013: Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah bersedia untuk menempatkan anggota yang secukupnya bagi memastikan Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Besut berjalan lancar sehingga hari pengundian pada 24 Julai ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, beliau sendiri akan meninjau kawasan berkenaan esok bagi melihat persiapan menghadapi pilihan raya tersebut.

"Sehubungan itu, saya menyeru kepada calon-calon parti yang bertanding supaya mematuhi undang-undang pilihan raya dan berkempenlah secara berhemah agar dapat berlangsung secara aman, malah disukai oleh penduduk Kuala Besut.

"Kita tidak minat hendak tahu sama ada PRK kali ini akan berlangsung sengit (atau sebaliknya), lebih diutamakan ialah bagi memastikan tiada sebarang kejadian tidak diingini berlaku dan pengundi boleh keluar mengundi tanpa rasa risau," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan majlis pemakaian sayap juruterbang dan pemerhati udara Pasukan Gerakan Udara (PGU) PDRM di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Datuk Seri Salleh Mat Rasid dan Komandan Pusat Latihan Unit Udara PDRM Ipoh, Asisten Komisioner Mohd. Rafique Ramli Arifin.

Beliau diminta mengulas mengenai persiapan pihak berkuasa dalam menghadapi PRK Kuala Besut yang proses pengundian awal dibuat pada 12 Julai ini.

Mengulas kejadian bunuh melibatkan seorang isteri dan dua anak di Sibu, Sarawak baru-baru ini yang dikaitkan dengan kegiatan ah long, Khalid berkata, pihak polis masih menyiasat punca sebenar kejadian.

Namun tegas beliau, pihaknya tidak pernah menghalang perniagaan pinjaman wang secara berlesen, sebaliknya akan memberi tumpuan kepada perkara-perkara yang melibatkan unsur jenayah.

"Kita masih siasat sama ada dia (mangsa) mempunyai hutang yang banyak. Dalam keadaan begini, tiada cara untuk kita mencegah (suspek) daripada bunuh ahli keluarganya sendiri.

"Walaupun begitu, jika perkara berkenaan boleh dielakkan pada masa depan, kita akan mengambil langkah-langkah yang patut," katanya.

Pada 5 Julai lalu, akhbar melaporkan seorang lelaki dipercayai tertekan dengan hutang keliling pinggang, bertindak kejam memukul bertubi-tubi isteri dan dua anaknya menggunakan buluh sebelum melemaskan mereka menggunakan gas memasak di Pulau Li Hua, Sibu, Sarawak. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment