My Add

Friday 19 July 2013

Projek MRT Sungai Buloh-Kajang berjalan lancar

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 19 Julai, 2013: Pelaksanaan projek MRT Sungai Buloh-Kajang, pertama daripada tiga landasan Mass Rapid Transit (MRT), setakat Julai ini, berjalan lancar menjelang pelaksanaan kerja-kerja bahagian bawah tanah dan laluan atas.

"Kami bergerak pada arah tuju yang tepat dengan pakej-pakej laluan atas, dari V1 hingga V8, berjalan lancar.

"Secara keseluruhannya, pembersihan tanah, pemindahan utiliti, kerja-kerja cerucuk dan tiang di pelbagai peringkat berjalan lancar di semula bahagian laluan atas," kata Timbalan Pengarah Pembinaan MMC Gamuda KVMRT (PDP) Sdn Bhd, Adil Putra Ahmad dalam satu kenyataan.

Beliau berkata syarikat itu kini membuat persiapan untuk pembinaan jejambat dalam tempoh beberapa bulan akan datang dan menjangkakan beberapa siri pembinaan tiang akan dilaksanakan di sepanjang jalan dan lebuh raya utama.

Pelancar gantri (LG) akan digunakan tidak lama lagi bagi membina jejambat kekal.

LG merupakan kaedah pembinaan canggih yang menggunakan struktur keluli tinggi yang menopang kren bagi menyambung galang kotak dengan sempurna untuk membentuk jejambat bagi bahagian laluan atas.

Syarikat pembinaan itu kini aktif memasang LG di pakej V1 dan V2 di sebelah utara dan pakej V5 dan V6 di selatan, kata Adil Putra.

Sementara itu, Pengurus Besar syarikat itu, Ubull Din Om berkata, kesemua pembinaan tujuh stesen bawah tanah MRT yang membentuk jajaran terowong 9.5 kilometer berjalan lancar dengan kebanyakan kerja bertumpu kepada dinding dan kerja konkrit lantai.

Tujuh stesen berkenaan adalah antara Semantan North Portal dan Maluri South Portal, iaitu KL Sentral, Pasar Seni, Merdeka, Bukit Bintang Central, Pasar rakyat, Cochrane dan Maluri.

"Secara khususnya, kerja besar-besaran sedang dijalankan di stesen MRT Pasar Rakyat, yang merupakan antara stesen MRT bawah tanah paling dalam, 45 meter bawah tanah, manakala pemasangan dan pengalihan utiliti berpusat di stesen MRT Bukit Bintang Central.

"Di stesen MRT Merdeka, kami memperkukuh pembinaan di situ bagi menstabilkan tapak stesen," kata Ubull.

Projek itu yang dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 8 Julai, dijangka siap pada pertengahan 2017 dan menjadi pengangkutan awam untuk kira-kira 10 juta menjelang 2020. - BERNAMA 

No comments:

Post a Comment