My Add

Tuesday 23 July 2013

Projek Pan-Borneo masuk fasa permulaan - Rosnah

PAPAR, OSNIN, 22 Julai, 2013: Usaha kerajaan menaik taraf dan membesar jalan raya bagi Projek Pan-Borneo dari Sabah ke Sarawak dan turut merentasi negara jiran, Brunei kini memasuki peringkat awal iaitu melibatkan kerja penyelidikan dan kajian kawasan.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata, kerajaan telah meluluskan peruntukan sebanyak RM457 juta bagi pelaksanaan projek mega 2012 hingga 2015 itu dengan Sabah dan Sarawak masing-masing mendapat peruntukan awal sebanyak RM50 juta tahun lalu.

"Projek berskala besar ini akan turut merancakkan lagi aktiviti pelancongan di Borneo dan memanfaatkan orang ramai untuk memiliki kemudahan jalan raya yang lebih baik," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas majlis penutup Seminar Peningkatan Kualiti dan Integriti Kontraktor serta majlis berbuka puasa anjuran Pusat Khidmat Kontraktor Negeri Sabah, di sini malam tadi.

Yang turut hadir Presiden Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM), Datuk Mokhtar Samad dan Yang Dipertua PKMM Negeri Sabah, Awadnir Matanggal.

Menurut Rosnah, melalui projek berkenaan para kontraktor bumiputera di negeri terlibat bakal mendapat hasil berikutan tenaga dan kepakaran mereka turut diperlukan bagi menjayakan projek itu.

Sementara itu, katanya, pihaknya akan membawa kumpulan pakar yang mengendalikan projek tersebut ke negeri itu bagi memberi penjelasan lanjut kepada media dalam masa terdekat.

Jelasnya, sesi pertemuan dengan media itu bertujuan memastikan maklumat serta perkembangan terkini projek tersebut dapat disalurkan kepada orang ramai yang sangat menantikan pelaksanaan projek mega berkenaan. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment