My Add

Friday 12 July 2013

Proses penamaan calon lancar - Polis

Oleh RADHUAN HUSSAIN

KUALA BESUT, JUMAAT, 12 Julai, 2013: Tiada insiden tidak diingini berlaku sepanjang proses penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut yang berlangsung hari ini, kata Ketua Polis Terengganu, Datuk Jamshah Mustafa.

Beliau bagaimanapun berkata, pihaknya akan mengambil tindakan ke atas penyokong yang melanggar peraturan membawa kanak-kanak pada perarakan ketika proses tersebut.

"Kita akan ambil tindakan berhubung perkara ini," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Besut hari ini.

Penamaan calon bagi PRK di DUN Kuala Besut berlangsung di Kompleks Rakan Muda, Kampung Raja bermula pukul 9 pagi dan ditutup sejam kemudian.

Jamshah dalam pada itu turut mengingatkan calon dan parti yang bertanding supaya mematuhi undang-undang yang ditetapkan mengikut Akta Kesalahan-kesalahan Pilihan Raya 1954 sepanjang tempoh berkempen.

Beliau berkata, calon perlu memohon permit daripada Ketua Polis Daerah untuk mengadakan ceramah atau berkempen.

"Selepas selesai proses penamaan calon maka bermulalah tempoh berkempen bagi calon parti yang bertanding mulai hari ini sehingga 23 Julai jam 11.59 malam," katanya.

Beliau turut mengingatkan calon dan pekerja parti supaya tidak mempamerkan bahan kempen mengandungi unsur mengembangkan perasaan jahat, permusuhan atau membuat dan menerbitkan apa-apa kenyataan palsu berhubung watak dan perlakuan calon.

Sepanjang 12 hari berkempen, beliau berkata, pihaknya akan menambah bilangan anggota trafik bagi mengelak berlaku kesesakan teruk di bandar Besut.

Pihaknya menjangkakan berlaku peningkatan mendadak jumlah kenderaan dari sekarang sehingga hari pengundian 24 Julai ini.

"Kita juga bersiap sedia dengan kekuatan anggota bagi mengendalikan lalu lintas agar berjalan lancar," katanya. - UTUSAN ONLINE

No comments:

Post a Comment