My Add

Sunday 14 July 2013

Pusat jagaan usir 20 anak yatim disiasat

Oleh MAHFUZ MOHAMAD
 
 * ROHANI (berdiri empat dari kanan) bergambar bersama sebahagian daripada penerima sumbangan Hari Raya Aidilfitri di Kuala Lumpur semalam.
KUALA LUMPUR, SABTU, 13 Julai, 2013: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) sedang menyiasat dakwaan sebuah pusat jagaan anak yatim yang didakwa mengusir 20 penghuninya kerana mereka tidak mampu membayar yuran bulanan sebanyak RM150 setiap seorang.

Menteri KPWKM, Datuk Rohani Abdul Karim berkata, kementerian melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sedang menyemak status pusat jagaan itu sama ada ia berdaftar dengan jabatan berkenaan.

“Pegawai di kementerian ini sudah mengambil tindakan dengan turun padang menyiasat isu itu dan kanak-kanak yang terlibat akan ditempatkan sementara di bawah jagaan JKM.

“Mengikut Akta Pusat Jagaan, pusat kebajikan yang tidak berdaftar boleh dikenakan tindakan termasuk premis mereka disita,” katanya selepas merasmikan majlis berbuka puasa program Kebajikan Rakyat 1Malaysia Ramadan 2013 di sini semalam.

Pada majlis itu, beliau turut menyerahkan sumbangan Hari Raya Aidilfitri serta geran berjumlah RM500,000 masing-masing kepada lima pertubuhan kebajikan untuk membangunkan taska orang kelainan upaya.

Pertubuhan itu ialah Persatuan Sindrom Down Malaysia, Persatuan Orang Pekak Malaysia, Persatuan Untuk Insan Bermasalah Intelek Perak, Persatuan Autisme Sibu, Sarawak dan St. Nicholas Home, Pulau Pinang.

Kosmo! semalam melaporkan seramai 20 penghuni Pusat Jagaan Anak Yatim Nur Ikhlas, Sri Kundang di Rawang diminta meninggalkan pusat jagaan tersebut sejak Januari lalu berikutan mereka didakwa tidak mampu membayar yuran RM150 sebulan setiap seorang.

Sejak itu, anak-anak yatim itu terpaksa menumpang dalam keadaan sesak di sebuah rumah teres setingkat yang dimiliki seorang penduduk yang bersimpati dengan nasib mereka.

Dalam pada itu, Rohani memberitahu, sehingga Jun lalu sebanyak 1,055 pusat kebajikan telah berdaftar dengan JKM namun sebanyak 1,230 lagi pusat didapati masih belum berbuat demikian.

“Setakat ini belum ada apa-apa tindakan diambil terhadap pusat-pusat kebajikan yang tidak berdaftar itu. Kita cuma memberikan nasihat mengenai prosedur yang mereka perlu patuhi,” kata beliau.

Sementara itu, semakan Kosmo! di laman web rasmi JKM mendapati sebanyak 38 buah institusi kebajikan khusus terhadap kanak-kanak didaftarkan di bawah jabatan tersebut.

Institusi-institusi berkenaan ialah Rumah Kanak-kanak (12), Asrama Akhlak (10), Sekolah Tunas Bakti (9), Taman Seri Puteri (4), Pusat Jagaan Sinar Kasih (2) dan Kompleks Penyayang Bakti (1). - KOSMO! 

No comments:

Post a Comment