My Add

Monday 15 July 2013

Puteri UMNO dekati pengundi muda pastikan kemenangan BN di Kuala Besut

JERTIH, isnin, 15 jULAI, 2013: Pergerakan Puteri UMNO akan menggerakkan strategi mendekati pengundi muda bagi memastikan kemenangan berpihak kepada Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut, 24 Julai ini.

Ketua Penerangan Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Nordiana Shafie, berkata langkah itu penting memandangkan sikap pengundi muda adalah di luar jangkaan.

"Walaupun ini kawasan menang tetapi kita mesti berusaha lebih dan tidak boleh berada dalam keadaan selesa.

"Oleh itu, Pergerakan Puteri UMNO pusat dengan kerjasama Puteri bahagian dan negeri, kita akan mengadakan program mendekati pengundi terutama yang muda berumur 40 tahun ke bawah wanita dalam usaha membantu calon BN pada PRK ini," katanya ketika ditemui pada program Ihsan Ramadan dengan menyerahkan sumbangan kepada ahli pergerakan yang memerlukan bantuan.

Hadir sama ketika kunjungan ke 10 rumah di sekitar DUN Kuala Besut ialah Ketua Puteri Bahagian Besut, Che Senah Che Sulaiman dan 15 ahli pergerakan terbabit.

Nordiana yang juga Ketua Puteri UMNO Terengganu berkata, pihaknya memberi pemahaman kepada pengundi mengenai usaha kerajaan untuk memartabatkan kehidupan mereka pada setiap kali berpeluang bertemu orang ramai.

"Kadang-kadang ada isu yang ditimbulkan, kita beri penjelasan kepada orang ramai. Mungkin ada satu atau dua perkara yang belum dilaksanakan seperti isu pembangunan kerana ia mengambil sedikit masa.

"Kita perlu fahamkan mereka dan nyatakan bahawa tiada kerajaan yang lebih baik daripada BN kerana kita sudah lama berkhidmat dan usaha untuk menambah baik parti ini sudah dijalankan bagi memastikan rakyat terbela," katanya.

Beliau berkata, pihaknya berpuashati dengan persiapan sempena PRK terbabit termasuk peranan Puteri mengendalikan bahagian teknologi maklumat (IT) bagi menganalisis bacaan dan perkembangan terkini berkaitan sikap pengundi.

Selain itu, katanya, ahli pergerakan terbabit juga mengedarkan risalah di tempat awam pada sebelah petang termasuk pasar Ramadan dan kedai bagi memastikan pengundi mengenai calon mereka dan memberitahu parti yang terbaik ialah BN.

"Kita juga mengadakan pertandingan pelita Ramadan iaitu menghias rumah dengan pelita. Kita beri satu cawangan satu wakil dan pemenang akan diumumkan pada malam 17.

"Kita turut mengadakan pengagihan bubur lambuk dengan kerjasama masjid dan majlis berbuka puasa," katanya. - BH

No comments:

Post a Comment