My Add

Wednesday 10 July 2013

Raja Muda Perlis bincang aspek pendidikan di Qatar

* TUANKU Syed Faizuddin Putra Jamalullail (dua dari kanan) menandatangani plak promosi makanan Perlis di Noodle Bowl Restaurant di Dubai, kelmarin.
KUALA LUMPUR, SELASA, 09 Julai, 2013: Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail petang semalam mengakhiri lawatan kerja yang padat dengan pelbagai program dua hari ke Doha, Qatar sambil mempengerusikan perbincangan dengan dua institusi pengajian tinggi tersohor di negara tersebut.

Dalam perbincangan itu, Presiden Qatar University, Prof. Shaikha Abdalla Al-Misnad dan Pengarah Eksekutif Hamad Bin Khalifa University, Soud Al-Tamimi mewakili universiti masing-masing.

Hadir sama dalam perbincangan berkenaan ialah Duta Besar Malaysia ke Qatar, Datuk Ahmad Jazri Mohd. Johar dan Pengarah Institut Pendidikan Tinggi Majlis Pendidikan Tertinggi Qatar, Dr. Khalid Al-Horr.

Turut serta dalam perbincangan kerjasama dua hala pendidikan tinggi itu ialah Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Prof. Datuk Dr. Kamarudin Husin dan Presiden Allianze University College of Medical Sciences (AUCMS), Datuk Dr. Zainuddin Wazir serta Rektor Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs), Dr. Mohd. Mizan Mohammad Aslam.

Semua sedia maklum yang Malaysia menawarkan bidang pengajian tinggi yang diiktiraf setanding negara Barat dengan kos pembelajaran yang lebih kompetitif.

Tambahan lagi, suasana pembelajaran yang kondusif, makanan halal, pelbagai destinasi pelancongan yang menarik menjadi daya tarikan pelajar dari negara Teluk dan Timur Tengah ke Malaysia.

Pada malam sebelumnya, Raja Muda Perlis berangkat menghadiri program Liqa’ Mawaddah anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) bersama warga Malaysia di Doha.

Sementara itu, ketika singgah di Dubai, Emiriah Arab Bersatu semalam, Tuanku Syed Faizuddin mempromosikan makanan Perlis di Noodle Bowl Restaurant yang dibuka sejak tujuh tahun lalu di Dune Centre.

Sebelum ini, promosi masakan Perlis telah dilancarkan atas inisiatif baginda sendiri sempena kunjungannya ke luar negara seperti di China, London, Indonesia, Myanmar, Jepun, Qatar, Thailand, Australia dan di New Zealand. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment