My Add

Wednesday 24 July 2013

Rakan kongsi lindungi aset haram

Oleh ANGELINA SINYANG

KUALA LUMPUR, SELASA, 23 Julai, 2013: Polis mengesan anggota sindiket dadah antarabangsa yang ditangkap di negara ini, menjalin hubungan baik dengan banduan rakyat tempatan dan bekerjasama menjalankan semula kegiatan pengedaran dadah setelah dibebaskan dari penjara.

Kumpulan sindiket dadah yang baru ditubuhkan itu semakin mudah menjalankan kegiatan mereka kerana mempunyai ahli dalam kalangan penduduk tempatan.

Timbalan Pengarah III (Perlucuthakan Harta/Tahanan/Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Jamaludin Kudin berkata, kebiasaannya anggota sindiket dari luar negara akan membekalkan dadah kepada rakan rakyat tempatan untuk diedarkan di negara ini.

Beliau berkata, selain berperanan sebagai pengedar dan 'rakan kongsi perniagaan', rakyat tempatan juga diperlukan oleh kumpulan sindiket untuk melindungi wang dan harta hasil pendapatan menjual dadah.

"Bagi mengelak kegiatan haram mereka dikesan pihak berkuasa, kumpulan sindiket terbabit akan menggunakan wang hasil menjual dadah untuk membeli aset dan membuka perniagaan sah.

"Sindiket akan menggunakan nama rakan kongsi rakyat tempatan untuk membuka akaun bagi menyimpan wang hasil jualan dadah, menyewa rumah, membuka perniagaan, membeli rumah, kereta dan lain-lain aset di negara ini," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, di sini baru-baru ini.

Menurut Jamaludin, perniagaan haram dijalankan itu membolehkan rakyat tempatan yang menganggotai sindiket dadah antarabangsa mampu mengecapi kehidupan mewah dan bergelar jutawan.

Beliau berkata, perniagaan sah yang dibuka pula hanya bertujuan melindungi harta hasil aktiviti haram itu daripada dikesan dan dirampas pihak berkuasa.

Katanya, semua perniagaan itu sebenarnya hanya 'batu loncatan' bagi membolehkan mereka mengisytiharkan secara sah harta dan wang bernilai jutaan ringgit dimiliki melalui hasil pengedaran dadah tersebut.

"Dengan pengisytiharan itu, mereka akan terlepas daripada dikenakan tindakan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA).

"Rakyat tempatan yang menjadi rakan kongsi turut berperanan sebagai penasihat kepada sindiket dadah warga asing kerana mereka mengetahui keadaan negara ini dan berpengalaman dalam aktiviti haram tersebut," katanya.

Selain bekerjasama dengan rakan kongsi rakyat tempatan, Jamaludin berkata, sindiket dadah antarabangsa juga akan menggunakan kereta sewa atau kenderaan yang didaftarkan di luar negara untuk menyeludup masuk bahan terlarang itu.

Beliau berkata, sepanjang tahun lalu, polis telah merampas sembilan kereta mewah termasuk jenis Mercedes-Benz, Subaru Impulse, Honda Odyssey dan Mazda bernilai lebih RM500,000 yang digunakan untuk menyeludup masuk dadah ke negara ini. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment