My Add

Thursday 11 July 2013

'Rakyat perlu laporan terperinci'

Oleh ABDUL YAZID ALIAS

 ABDUL SHUKOR IDRUS
SHAH ALAM, RABU, 10 Julai, 2013: Kerajaan negeri diminta memberikan laporan terperinci berhubung kedudukan pengurusan aset Kumpulan Hartanah Selangor Berhad (KHSB) yang didakwa tidak diuruskan dengan baik sehingga terpaksa diambil alih Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) melibatkan pinjaman wang negeri sebanyak RM413.2 juta.

Ketua Penerangan UMNO Selangor, Abdul Shukor Idrus berkata, laporan itu penting supaya rakyat mengetahui kedudukan sebenar pengurusan aset termasuk urus niaga yang dijalankan KHSB dalam tempoh lima tahun ini.

Menurut beliau, dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) 5 Jun lalu, kerajaan negeri meluluskan peruntukan tambahan sebanyak RM761.4 juta bagi menampung perbelanjaan pada 2013.

Daripada jumlah itu, katanya, sebanyak RM413.2 juta diperuntuk kepada KDEB sebagai pinjaman mengambil alih syarikat KHSB.

"Persoalannya, apakah amalan pemberian pinjaman ini betul kerana tidak pernah berlaku dalam pentadbiran negeri di bawah Barisan Nasional (BN) sebelum ini.

"Apakah kerana kemungkinan berlaku kelemahan dalam pengurusan anak syarikat milik negeri, maka pinjaman daripada wang rakyat itu perlu bagi menampung kelemahan tersebut? Sehubungan itu, kita menuntut laporan terperinci dikemukakan kerajaan negeri mengenai kedudukan sebenar KHSB," katanya.

Beliau mengulas kelulusan kerajaan negeri menggunakan peruntukan tambahan wang rakyat untuk membiayai pinjaman KDEB mengambil alih syarikat KHSB yang dibuat dalam Sidang DUN minggu lalu.

Menurut Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, peruntukan pinjaman melibatkan jumlah RM413.2 juta itu diberi bagi membolehkan KDEB melaksana pengambilalihan tersebut melibatkan 100 peratus pegangan saham dalam KHSB.

Menteri Besar malah turut mengakui pengambilalihan tersebut perlu dibuat memandangkan aset KHSB tidak diurus dengan baik dan langkah tersebut membolehkan semua aset KHSB disusun semula. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment