My Add

Tuesday 23 July 2013

Rangka garis panduan penggunaan internet

KUALA LUMPUR, ISNIN, 22 Julai, 2013: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat bercadang menubuhkan sebuah jawatankuasa bagi merangka garis panduan penggunaan internet dalam kalangan kanak-kanak.

Menterinya, Datuk Rohani Abdul Karim berkata, garis panduan itu bertujuan untuk melindungi pengguna terutamanya kanak-kanak daripada ancaman jenayah siber seperti pembulian, penipuan, pencerobohan dan pornografi.

Menurutnya, jawatankuasa itu diketuai oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Strategik), Datuk Harjeet Singh dan akan menerima pandangan daripada pakar-pakar penasihat termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Katanya, penggunaan internet di negara ini melebihi 70 peratus yang mana insiden jenayah siber dilaporkan semakin meningkat khususnya melibatkan kanak-kanak.

"Jadi, langkah-langkah pencegahannya amat perlu untuk mengawal aktiviti mereka. Sehubungan itu, kementerian akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan pakar-pakar profesional lain ketika merangka garis panduan terbabit.

"Garis panduan itu juga akan bertindak sebagai memberi kesedaran, pengetahuan menyeluruh dan cara-cara menangani cabaran dan ancaman siber yang lebih kompleks," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar Mesyuarat Suruhanjaya ASEAN Untuk Penggalakan dan Perlindungan Hak Wanita dan Kanak-kanak (ACWC) Ketujuh di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr. Noorul Ainur Mohd. Nur, Pengerusi ACWC dan wakil dari Brunei bagi hak kanak-kanak, Datin Paduka Intan Mohd. Kassim serta Naib Pengerusi ACWC, Long Sophally.

Selain itu hadir sama, wakil negara-negara ASEAN lain iaitu Indonesia, Kemboja, Thailand, Laos, Myanmar, Filipina, Singapura dan Vietnam.

Mesyuarat tertutup yang berlangsung selama dua hari itu akan membincangkan beberapa perkara merangkumi isu-isu semasa wanita dan kanak-kanak di negara-negara ASEAN.

Terdahulu, Rohani dalam ucapannya turut mencadangkan kepada wakil yang hadir ke mesyuarat itu untuk mempertimbangkan penggunaan internet golongan tersebut.

Katanya, langkah itu perlu kerana kanak-kanak merupakan kumpulan yang berisiko tinggi terdedah kepada ancaman jenayah siber. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment