My Add

Saturday 13 July 2013

Ratusan ikan, udang mati di Sungai Suai, Miri

 * PELBAGAIi jenis bangkai ikan ditemui terapung dipercayai akibat diracun di Sungai Suai, Miri, Sarawak, kelmarin.
MIRI, JUMAAT, 12 Julai, 2013: Operasi mencari lelaki, Julai Melina yang hilang ketika menyuluh udang di Sungai Suai dekat sini, gempar dengan penemuan ratusan bangkai ikan dan udang yang terapung di sungai itu semalam.

Kejadian itu dikesan kira-kira pukul 8 pagi oleh sekumpulan pencari terdiri daripada penduduk kampung serta pasukan keselamatan yang terhidu bau busuk dari kawasan hilir Sungai Suai.

Rata-rata penduduk mengeluh kerana kejadian itu menjejaskan aktiviti harian mereka yang bergantung sepenuhnya kepada air sungai untuk memasak, mandi dan mencuci pakaian.

Seorang penduduk yang enggan dikenali berkata, berdasarkan keadaan bangkai, hidupan sungai berkenaan berkemungkinan besar diracun.

"Kami tidak mempunyai bukti kukuh berhubung dakwaan itu. Walau bagaimanapun, kejadian ini menyebabkan kami tidak dapat meneruskan aktiviti seharian kerana ragu-ragu dengan kebersihan air sungai.

"Saya juga berharap penduduk tidak mengutip bangkai ikan dan udang itu untuk dimakan bagi mengelak keracunan," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.

Sementara itu, bapa mangsa, Melina Guha, 62, memberitahu, usaha mencari Julai diteruskan hari ini dengan bantuan agensi kerajaan dan penghuni Rumah Panjang Ngumbang.

Dalam kejadian pukul 11 malam Sabtu lalu, Julai, 34, didapati hilang ketika turun menyuluh udang di Sungai Suai bersama seorang rakan dan operasi mencari setakat ini hanya menemukan sampannya yang hanyut di sungai berkenaan. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment