My Add

Monday 15 July 2013

RCI: Bekas KM Sabah puji pasukan keselamatan

KOTA KINABALU, ISNIN, 15 Julai, 2013: Bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Chong Kah Kiat hari ini mengakui beliau mendapat kerjasama baik daripada pasukan keselamatan bagi membanteras kehadiran pendatang tanpa izin di negeri ini.

Chong, yang menyandang jawatan itu dari 2001 hingga 2003, berkata beliau amat menghargai sumbangan pasukan keselamatan, yang begitu komited dalam menjalankan operasi pembersihan.

"Ia bukan tugas mudah. Saya sering tidak dapat tidur malam. Bagaimanapun, polis dan tentera memudahkan saya mencapai objektif sebagai ketua menteri ketika itu," katanya kepada Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai pendatang tanpa izin di Sabah di sini.

Chong juga berkata, tidak terdapat campur tangan politik ketika beliau melancarkan gerakan besar-besaran untuk memburu pendatang tanpa izin dan malah, mendapat sokongan penuh daripada kerajaan persekutuan.

Sementara itu, bekas ketua Bahagian Pelesenan, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), Sairullizam Shukor, berkata tidak terdapat peruntukan dalam undang-undang yang membenarkan lesen premis perniagaan dipajak kepada pihak ketiga.

Bagaimanapun, katanya DBKK menerima aduan bahawa lesen yang dikeluarkan kepada penduduk tempatan atau penduduk tetap, dipajak kepada orang asing.

Siasatan berkenaan, yang dipengerusikan bekas Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Steve Shim Lip Kiong, bersambung esok. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment