My Add

Friday 19 July 2013

Rekod operasi TLDM di Arkib Negara

Oleh SOFIAN BAHAROM

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 18 Julai, 2013: Orang ramai terutama para penyelidik bidang geostrategik ketenteraan boleh mengakses rekod-rekod melibatkan operasi Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Arkib Negara untuk tujuan ilmiah.

Rekod-rekod berhubung pertahanan dan keselamatan maritim, pengurusan serta pengukuran hidrografi, aset serta borang-borang berkaitan TLDM itu boleh diakses selagi tidak diklasifikasikan sebagai rahsia.

Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar berkata, perkara itu berikutan kerjasama sistematik antara pasukan itu dengan Arkib Negara melalui Pusat Sumber Maritim dan Sejarah (Pusmas) TLDM sejak 2009.

"Sejak tertubuhnya Pusmas pada 27 April 2009, TLDM secara konsisten telah menyalurkan rekod-rekod kami kepada Arkib Negara untuk tujuan pelupusan dan pemeliharaan seperti yang tertakluk pada Seksyen 27 (1) dan (3) Akta Arkib Negara 2003," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan majlis memeterai memorandum persefahaman (MoU) antara TLDM dan Arkib Negara, di sini hari ini.

MoU tersebut bertujuan mempersetujui dan memperakui penggunaan Jadual Pelupusan Rekod Urusan Fungsian TLDM (JPR) yang berperanan sebagai panduan kepada kerja-kerja pengurusan rekod ketumbukan itu.

Yang turut hadir, Ketua Pengarah Arkib Negara, Daresah Ismail; Asisten Ketua Staf Bahagian Pengurusan Strategik Markas Tentera Laut, Laksamana Pertama Datuk Anuwar Mad Said dan Pengarah Pusmas, Kapten Mohd. Yusri Mohd. Yunus.

Berhubung JPR, Abdul Aziz berkata, kaedah tersebut dapat mempermudahkan kerja memisahkan rekod-rekod yang tidak digunakan lagi oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terutama TLDM dengan cepat.

"Kalau tiada jadual memang lambat, pihak berkenaan kena periksa dan selidik rekod-rekod itu.

"Namun dengan adanya JBR, TLDM hanya perlu mengikut apa yang tercatat dalam jadual dan membuat pemisahan kepada rekod-rekod yang banyak supaya yang tidak penting dapat dimusnahkan dan yang penting serta bernilai dipelihara," ujarnya.

Kaedah tersebut katanya, mempercepatkan kerja pengurusan rekod dan menjimatkan ruang bilik rekod sesebuah pertubuhan sekali gus menjimatkan kos operasi proses berkenaan.

Beliau berkata, TLDM juga sedang menjalankan kerjasama dengan Arkib Negara dalam proses pengumpulan rekod-rekod bertulis, audio dan visual termasuk menemubual bekas-bekas Panglima Tentera Laut serta bekas pegawai kanan TLDM yang terlibat dalam operasi tertentu bagi dijadikan bahan rekod bersejarah.

"Selain itu, TLDM telah berbincang dan Arkib Negara dan mempertimbangkan penggunaan Sistem Pengurusan Rekod Elektronik (ERMS) sebagai langkah ke arah mendigitalkan semua rekod dalam pasukan ini," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment