My Add

Wednesday 10 July 2013

Risda belum sedia disenarai di bursa

PUTRAJAYA, SELASA, 09 Julai, 2013: Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) masih belum bersedia untuk disenaraikan di Bursa Malaysia buat masa ini, kata Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal.

Katanya, langkah itu agak sukar dilakukan kerana antara lain, kebanyakan tanah yang diuruskan oleh Risda dan anak-anak syarikatnya adalah milik pekebun kecil.

"Namun, kami tidak menolak cadangan itu, malah telah memperuntukkan RM200 juta pada tahun lepas bagi membeli tanah."

"(Sehubungan itu) adalah mudah bagi Risda untuk disenaraikan jika memiliki tanah sendiri," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kompleks Bioteknologi Risda di sini hari ini.

Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan sama ada Risda akan mengikut langkah Felda Global Ventures Holdings (FGV) yang disenaraikan di papan utama Bursa Malaysia pada tahun lepas.

Mohd. Shafie berkata, Risda akan menjalankan kajian yang lebih mendalam dari segi sinergi, malah keadaan pasaran yang kurang stabil buat masa sekarang merupakan sesuatu langkah yang kurang produktif bagi mereka.

"FGV berbeza dengan kami, mereka mempunyai keupayaan sinergi yang mantap dan matang, namun itu tidak bermaksud kita tidak mampu tapi kita mahu melihat secara lebih mendalam dari segi perkongsian dengan para pekebun kecil," katanya.

Bagaimana pun, katanya, kepentingan masyarakat pekebun kecil tetap menjadi keutamaan mereka.

"Kita memang mengejar keuntungan, tapi akhirnya nanti, apa yang penting ialah kita mampu menstabilkan pendapatan pekebun kecil ini," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment