My Add

Monday 15 July 2013

RM10 sekilo sejak Ramadan

Oleh ZABRY MOHAMAD

BALIK PULAU, AHAD, 14 Julai, 2013: Harga ayam yang dijual di Balik Pulau merupakan yang tertinggi di negeri ini iaitu RM10 sekilogram berbanding kawasan lain, termasuk di pusat bandar.

Ahli Parlimen Balik Pulau, Datuk Seri Dr. Hilmi Yahaya berkata, beliau sendiri hairan dengan keadaan itu yang sering berlaku setiap kali Ramadan.

Beliau tidak pasti kenaikan mendadak tersebut disebabkan oleh peniaga cuba memanipulasi harga ayam untuk mengaut keuntungan berganda atau kos pengangkutan meningkat berikutan Balik Pulau terletak agak jauh dari bandar.

"Mungkin juga permintaan luar biasa dari kawasan ini pada bulan puasa.

"Bagaimanapun, dengan harga RM10 sekilogram, seekor ayam boleh mencecah sehingga RM20 dan harga sebegini sudah pasti di luar kemampuan penduduk di sini yang kebanyakannya berpendapatan rendah," katanya.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Kesihatan berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Ops Harga di sini semalam.

Yang turut hadir Pengarah Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Pulau Pinang, Mohd. Salleh Ma'amor; Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Lailanor Ibrahim; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Betong, Muhammad Farid Saad dan ADUN Bayan Lepas, Nordin Ahmad.

Hilmi menambah, langkah kerajaan membenarkan import bahagian-bahagian ayam dari China berkuatkuasa serta-merta diharap dapat menurunkan semula harga ayam di negara ini.

"Apabila berlaku lambakan ayam di pasaran, harganya sudah pasti dapat diturunkan," ujarnya.

Sementara itu, tinjauan Utusan Malaysia mendapati ayam madu dijual pada harga RM22 seekor di Putrajaya.

Di Melaka pula, peniaga di Bazar Ramadan Peringgit menjual kepak ayam berempah RM2.50 seketul. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment