My Add

Wednesday 24 July 2013

RM220 juta dana DISF diagihkan

Oleh FADZIL ZAINOL
 
 * MUSTAPA Mohamed dan Ketua Pegawai Eksekutif, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia, Datuk Noharuddin Nordin (tiga dari kanan) pada sidang akhbar Dana Strategik Pelaburan Domestik di Kuala Lumpur, semalam.
KUALA LUMPUR, SELASA, 23 Julai, 2013: Sejak dilancarkan setahun yang lalu, sejumlah RM220.5 juta geran di bawah Dana Strategik Pelaburan Domestik (DISF) telah diagihkan kepada 36 syarikat sehingga kini.

Pemberian itu untuk syarikat-syarikat dalam pelbagai sektor antaranya elektrik dan elektronik (E&E), perkhidmatan, pengangkutan, kejuruteraan dan penyelidikan dan pembangunan.

Dengan bantuan geran sebanyak itu, nilai pelaburan yang mampu diciptakan oleh syarikat-syarikat berkenaan berpotensi mencecah RM2 bilion.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, bantuan geran DISF merupakan salah satu usaha kerajaan menggalakkan pelaburan swasta domestik.

"Langkah ini diharap mampu menyeimbangkan nilai pelaburan langsung domestik (DDI) dan pelaburan dalam negeri (FDI).

"Kita perlu mengekalkan momentum pelaburan domestik swasta yang telah mencatatkan pertumbuhan yang tinggi bagi 2012," katanya dalam sidang akhbar mengenai laporan agihan dana DISF di sini hari ini.

Kira-kira 11 daripada 36 syarikat tersebut dimiliki oleh Bumiputera.

DISF dilancarkan pada Julai 2012 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak dengan peruntukan berjumlah RM1 bilion.

Kesemua dana yang diperuntukkan itu disasarkan mampu dihabiskan sepanjang pelaksanaan Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10).

Pengenalan dana itu juga adalah selaras dengan sasaran kerajaan yang mana 73 peratus pelaburan di dalam Program Transformasi Ekonomi (ETP) disumbangkan oleh pelaburan domestik. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment