My Add

Thursday 18 July 2013

Rondaan lebih kerap di perairan sempena Aidilfitri

PUTRAJAYA, RABU, 17 Julai, 2013:: Dalam usaha membanteras penyeludupan barang kawalan pada musim perayaan ini, rondaan di perairan negara akan dipertingkat dua minggu sebelum dan dua minggu selepas Aidilfitri.

Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Laksamana Maritim Datuk Mohd Amdan Kurish, berkata pertambahan bot rondaan berserta pemeriksaan kerap akan dilakukan di kawasan 'panas' berhampiran sempadan negara.

"Sebagai contoh di selatan terdapat bot nelayan yang cuba menyeludup keluar pendatang asing yang ingin pulang beraya ke kampung, di utara penyeludupan barang kawalan seperti gula dan minyak serta mercun.

"Setiap wilayah kami tahu di mana kawasan hot spot dan apa yang sering diseludup di kawasan itu dan kami akan pantau secara kerap," katanya pada sidang media hari ini selepas Majlis Penyerahan Bingkisan Raya 2013 oleh Bakti kepada 2,000 penguatkuasa APMM yang bertugas semasa Aidilfitri.

Mohd Amdan berkata, pemeriksaan terhadap feri membawa penumpang juga akan dipergiat dan tiga faktor akan diambil kira iaitu kapasiti feri, peralatan keselamatan dan sah atau tidak operasi sesebuah feri berkenaan.

Namun, katanya, sebelum sesebuah feri itu berlepas dari terminal, adalah menjadi tugas penguatkuasa lain untuk memastikan operasi feri itu tidak menyalahi undang-undang.

"Bila feri itu melalui laut baru kami pula akan memeriksa lesen, jumlah penumpang, aspek keselamatan termasuk susun atur barang di dalamnya dan enjin yang baik," katanya.

Beliau berkata, di perairan Lahad Datu, Sabah, Aidilfitri kali ini adalah kali pertama APMM menggerakkan anggotanya di sana iaitu dengan menggunakan 14 jentera masing-masing tujuh kapal dan selebihnya bot dengan keanggotaan antara 300 hingga 400 orang.

Sementara itu, sepanjang enam bulan pertama tahun ini APMM telah melakukan 16,087 pemeriksaan dengan 399 tangkapan dan kutipan denda hampir RM 2.2 Juta 

Dari sudut bantuan mencari dan menyelamat pula, APMM telah menyelamatkan 33 nyawa dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini dan nilai harta benda yang berjaya diselamatkan dari 2007 hingga sekarang ialah RM526 juta. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment