My Add

Tuesday 16 July 2013

Rumah Penyatuan Ummah semai perpaduan masyarakat Islam

BUKIT MERTAJAM, ISNIN, 15 Julai, 2013: Kebimbangan terhadap sentimen politik yang sering diselitkan dalam sesi pengajian ilmu agama di negeri ini, mendorong penubuhan Pusat Pengajian Darul Wehdah di Simpang Tiga Kubang Ulu di sini.

Penaung pusat tersebut, Dr. Mazlan Ismail berkata, usaha yang dilakukan diharap dapat mentransformasikan pemikiran ke arah mewujudkan perpaduan umat Islam.

Menurutnya, pusat itu akan menjemput penceramah yang berwibawa dan mengikut kepakaran dalam ilmu agama untuk memberikan kuliah kepada masyarakat Islam.

Katanya, pusat pengajian ini terbuka kepada semua umat Islam tanpa mengira fahaman politik selaras dengan matlamat penubuhannya iaitu mahu menyatupadukan umat Islam.

''Pengisian ilmu di pusat pengajian ini mencakupi Islam syumul seperti pendidikan, motivasi, isu pembangunan dan kewanitaan selain ilmu yang diajar di masjid.

"Kita yakin dengan kehadiran penceramah terkemuka yang dijemput itu nanti akan memberi dimensi baharu kepada masyarakat setempat untuk meraih ilmu secara terus," katanya dalam majlis perasmian pusat itu baru-baru ini.

Majlis perasmian disempurnakan oleh pendakwah bebas, Muhammad Kazim Elias al-Hafiz atau lebih dikenali sebagai Ustaz Kazim.

Mazlan yang merupakan bekas calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Permatang Pauh berkata, pihaknya berharap seluruh umat Islam di negeri ini dapat memberikan sokongan terhadap usaha mewujudkan pusat pengajian tersebut.

"Antara masalah yang sering kita hadapi adalah apabila sesuatu tempat yang sepatutnya menjadi lokasi menimba ilmu agama disalahguna dengan menyelitkan sesi ilmu dengan politik dan perkara ini jika dibiarkan berterusan akan mengeruhkan lagi perpaduan di kalangan umat Islam.

"Oleh kerana itu, saya bersama beberapa rakan mengambil inisiatif mewujudkan pusat pengajian Darul Wehdah (Rumah Penyatuan) ini, dengan harapan mampu menjadi medium untuk menyatupadukan umat Islam berdasarkan ilmu Islam yang merentasi semua bentuk fahaman dan fahaman politik," tegasnya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment