My Add

Saturday 13 July 2013

Rusuhan agama: 20 penganut Buddha dipenjara

YANGON, JUMAAT, 12 Julai, 2013: Lebih 20 penganut Buddha dijatuhi hukuman penjara atas peranan mereka dalam rusuhan agama pada Mac lalu termasuk serangan berdarah ke atas sebuah sekolah berasrama penuh Islam, kata peguam dan polis hari ini.

Polis berkata, semua penganut Buddha itu dijatuhi hukuman penjara pada perbicaraan berasingan sejak tiga hari lalu berhubung beberapa dakwaan termasuk membunuh, menyerang, mencuri, membakar dengan sengaja dan mencetuskan kekacauan.

Menurut media rasmi yang tidak menyatakan agama suspek, mereka menerima hukuman penjara antara dua tahun untuk kesalahan jenayah ringan termasuk mencuri, hingga penjara 10 tahun kerana membunuh.

Seorang wartawan tempatan yang menghadiri perbicaraan berkenaan, Tin Hlaing berkata, empat daripada lapan yang didapati bersalah kerana membunuh dan menyebabkan kecederaan dijatuhi hukuman penjara antara 10 dan 15 tahun.

Hlaing tidak menyatakan peranan mereka dalam pembunuhan tersebut namun berkata, empat defendan lagi yang didapati bersalah dikenakan hukuman lebih ringan.

Akhbar The Keymon melaporkan, tujuh penganut Buddha dikenakan hukuman penjara antara tiga dan 15 tahun.

Peguam, Ba San berkata, beberapa tuduhan juga dikenakan ke atas beberapa penduduk Buddha berkaitan kematian pelajar di sebuah sekolah berasrama penuh Islam di Meiktila.

Lebih 12 penduduk Islam pula dikenakan hukuman termasuk penjara seumur hidup ekoran konflik agama dan puak tersebut.

Pada Mei lalu, tujuh penganut Islam dijatuhi hukuman penjara antara dua dan 28 tahun kerana memainkan peranan dalam pembunuhan seorang sami Buddha dalam konflik berdarah yang bermula dengan satu pergaduhan di kedai emas milik penganut Islam.

Dalam sabitan hukuman terbaru, hanya dua penganut Buddha dikenakan hukuman jenayah berat ekoran rusuhan agama tersebut yang menyebabkan beribu-ribu penganut Islam terpaksa meninggalkan rumah mereka.

Jumlah kematian rasmi dalam kejadian berdarah di Meiktila selama dua hari adalah 44 orang, namun beberapa pihak bimbang angka itu mungkin lebih tinggi. - AFP/UTUSAN 

No comments:

Post a Comment