My Add

Saturday 27 July 2013

Sabah jangka jana 500MW tenaga dalam tempoh 10 tahun - Maximus

TAWAU, SABTU, 27 Julai, 2013: Sabah yakin dapat menjana kira-kira 500MW tenaga dalam tempoh 10 tahun akan datang berdasarkan perancangan jangka panjang keperluan dan keselamatan tenaga di negeri ini, kata Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili.

Beliau berkata keyakinan itu berdasarkan kepada projek elektrik hidro di Ulu Padas dan projek penjanaan elektrik di Lahad Datu yang masing-masing berkapasiti 180MW dan 300MW.

"Kita perlu meletakkan asas keselamatan dan kemampanan keperluan tenaga untuk Sabah dalam tempoh 10 tahun akan datang dengan menyiapkan beberapa perkara (projek) iaitu hidro di Ulu Padas berkapasiti 180MW.

"Sebagai permulaan, peruntukan berjumlah RM560 juta sudahpun diperoleh daripada kerajaan pusat (untuk projek elektrik hidro di Ulu Padas)," katanya kepada pemberita selepas melawat Stesen Janakuasa Kubota di sini hari ini.

Stesen janakuasa berkapasiti 64MW berkenaan sudah memulakan penjanaannya sejak tiga minggu lepas.

Maximus berkata projek janakuasa oleh Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB), Tenaga Nasional Berhad dan Petronas di Lahad Datu pula akan dilaksanakan sebaik sahaja Perjanjian Pembelian Tenaga dimuktamadkan dalam tempoh tiga bulan akan datang.

Beliau berkata keupayaan penjanaan tenaga itu belum termasuk cadangan penjanaan lain yang masih dalam peringkat perbincangan seperti daripada sumber tenaga boleh diperbaharui iaitu biomas, solar dan geotermal.

Katanya, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak telah memberi jaminan kepada rakyat Sabah bahawa kerajaan akan menjalankan perancangan lebih rapi untuk memastikan kecukupan dan keselamatan tenaga di negeri ini.

Justeru, Maximus berkata, meletakkan asas perancangan jangka panjang keperluan tenaga di Sabah adalah sebahagian daripada komitmen kerajaan persekutuan demi kesejahteraan penduduk Sabah.

Beliau berkata selain itu pihaknya sedang berusaha menurunkan kadar gangguan bekalan kepada 450 minit untuk satu pengguna setahun (SAIDI) tahun ini daripada 700 minit setahun yang direkodkan tiga tahun lepas.

Sementara itu, Maximus berkata perancangan keselamatan dan kecukupan tenaga di Sabah yang dibuat sejak empat hingga tahun lepas turut membuahkan hasil apabila Sabah dijangka mendapat sumbangan tenaga baharu berjumlah 400MW iaitu 300MW dari Kimanis Power dan 100MW lagi dari SPR Energy, kedua-duanya terletak di Kimanis, selewat-lewatnya September tahun depan.

Katanya sumber tenaga berkenaan akan memberi kecukupan tenaga kepada pengguna di Sabah sekurang-kurangnya bagi tempoh tiga tahun akan datang. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment