My Add

Wednesday 10 July 2013

Salafi Jihadi mahu balas dendam

 * PENGIKUT bekas Presiden Mohammed Mursi yang berkumpul, melaungkan slogan menyokong beliau di Dataran Rabaa Adawia di Kaherah, kelmarin. - REUTERS
KAHERAH, SELASA, 09 Jula, 2013: Kumpulan Salafi Jihadi di Sinai mengancam untuk ‘membalas dendam’ ekoran kematian 51 orang penyokong Mohammed Mursi yang ditembak pihak berkuasa, semalam.

Sumber Salafi Jihadi berkata, serangan kumpulan itu akan dilancarkan tidak lama lagi dengan menjadikan pasukan tentera dan polis sebagai sasaran disebabkan pasukan itu bertanggungjawab atas kematian penyokong bekas Presiden Mesir itu di ibu pejabat Pengawal Republikan.

‘‘Sasaran kami akan lebih ditujukan kepada ibu pejabat keselamatan berbanding pos pemeriksaan seperti yang kami lakukan sebelum ini,’’ kata sumber itu.

Sementara itu, sumber keselamatan berkata, tentera diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan serangan bersenjata.

Dalam pada itu, Presiden sementara, Adly Mansour berikar akan mengadakan pilihan raya Parlimen baharu menjelang awal tahun depan.

Sehubungan itu, Adly mengeluarkan satu dekri menetapkan jadual satu pungutan suara berhubung penggubalan Perlembagaan dan pilihan raya Parlimen.

Menurut dekri itu, semua proses akan mengambil masa tidak lebih daripada 210 hari yang membawa makna, pilihan raya baharu akan diadakan pada awal Februari tahun depan.

Adly akan mengumumkan tarikh pilihan raya Presiden selepas Parlimen baharu bersidang, menurut draf mengandungi 33 artikel itu yang disiarkan oleh agensi berita MENA.

Satu panel mewakili politik, agama dan perkhidmatan keselamatan akan meluluskan penggubalan akhir Perlembagaan yang ditangguhkan selepas penggulingan Mursi dan menjalankan pungutan suara dalam tempoh lima bulan.

Pilihan raya Parlimen akan diadakan tidak lebih daripada tiga bulan selepas Perlembagaan itu diluluskan.

Dalam perkembangan lain, Adly melantik bekas Menteri Kewangan, Hazem el-Beblawi sebagai Perdana Menteri sementara dalam kerajaan peralihan Mesir.

Selain itu, Presiden sementara tersebut melantik bekas ketua agensi nuklear, Mohamed ElBaradei sebagai Naib Presiden yang ditugaskan untuk hal ehwal luar.

Pelantikan Hazem turut mendapat restu daripada pergerakan Salafi dengan sayap politiknya, Parti Nour dan menyatakan sokongan terhadap kepimpinan bekas menteri berkenaan.

Nour pada minggu lepas menolak pemilihan bekas diplomat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), ElBaradei untuk jawatan tersebut. - REUTERS/AFP/AGENSI/UTUSAN

No comments:

Post a Comment