My Add

Wednesday 17 July 2013

Saman fitnah Jurey Latiff terhadap TV3 ditolak

KUALA LUMPUR, SELASA, 16 Julai, 2013: Saman fitnah RM10 juta oleh penerbit drama televisyen, Jurey Latiff Rosli terhadap Sistem Televisyen Malaysia Bhd. (TV3) kerana mengaitkannya dengan seorang gadis dalam rancangan hiburan Melodi, kira-kira lima tahun lalu, ditolak oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Jurey Latiff yang juga Presiden Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM) mendakwa fitnah tersebut disiarkan dalam Melodi pada pukul 12.30 tengah hari, 21 September 2008 yang dikendalikan oleh wartawan, Nas Ahmad.

Hakim Datuk Nik Hasmat Nik Mohamad dalam keputusan secara lisan mendapati segmen Melodi itu tidak memfitnah Jurey Latiff memandangkan dia telah diberi peluang untuk membela dirinya atas dakwaan tersebut namun memilih untuk menyampaikan cerita versinya sendiri.

Malahan menurut hakim itu, berdasarkan keterangan Nas Ahmad, saksi tersebut menyatakan telah menghubungi Jurey Latiff sebelum segmen Terjah disiarkan.

Hakim Nik Hasmat berpendapat, saksi itu dan TV3 telah menjalankan tugasnya sebagai wartawan dengan sikap penuh bertanggungjawab.

''Jika dilihat daripada perkataan tersebut, seolah-olah memfitnah Jurey Latiff. Namun apabila dilihat daripada keseluruhan fakta dan kes itu perkataan tersebut tidak terjumlah kepada memfitnah.

''Ini kerana Jurey Latiff mengetahui dakwaan terhadapnya dan menyedari mengapa soalan itu diajukan kepadanya,'' ujar hakim itu.

Beliau berkata, temu bual yang dibuat oleh Nas Ahmad semata-mata untuk mendapatkan maklum balas Jurey Latiff dalam hal tersebut.

Sehubungan itu, mahkamah menolak saman Jurey Latiff selaku pihak plaintif dengan kos RM25,000.

Plaintif menamakan TV3 sebagai pihak defendan dalam pernyataan tuntutan yang difailkan pada 13 Januari 2009 dengan mendakwa Melodi menyiarkan perkataan yang membawa maksud dan difahami, dia sebagai individu, suami dan bapa yang tidak bermoral. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment