My Add

Tuesday 16 July 2013

Sambutan Ramadan produk pelancongan negara - Nazri

 * NAZRI Abdul Aziz menyampaikan sumbangan kepada anak-anak yatim sambil diperhatikan Raslin Abu Bakar (dua dari kiri) di Perpustakaan Negara Malaysia, Kuala Lumpur, semalam.
KUALA LUMPUR, ISNIN, 15 Julai, 2013: Sambutan Ramadan di Malaysia merupakan salah satu produk pelancongan yang mampu meningkatkan jumlah kehadiran pengunjung ke negara ini.

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, beliau mendapat reaksi yang sangat positif daripada pelancong asing, khususnya dari negara-negara di Asia Barat tentang sambutan Ramadan di sini.

Beliau berkata, rata-rata pengunjung berkenaan menyifatkan Malaysia sebagai lokasi pelancongan terbaik ketika bulan Ramadan, berbanding negara-negara Islam yang lain termasuklah di Dubai, Emiriyah Arab Bersatu (UAE).

"Di Malaysia, umat Islam boleh menjalankan ibadah puasa tanpa rasa takut dan bimbang dengan keselamatan mereka sambil menikmati pelbagai juadah tradisi termasuklah bubur lambuk sebagai hidangan berbuka. Begitu juga di seluruh masjid dan surau di sini, kita masih boleh mengerjakan solat tarawih dengan khusyuk dan selesa.

"Jadi, saya fikir pelancongan pada bulan Ramadan merupakan antara produk terbaik dalam kategori pelancongan Islam. Kami harap lebih ramai lagi pelancong melawat negara pada bulan Ramadan, bukan sahaja dalam kalangan mereka di Asia Barat tetapi juga Eropah supaya sedikit-sebanyak dapat mempelajari nilai Islam," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas program lawatan kerja dan majlis berbuka puasa di Perpustakaan Negara Malaysia (PNM), di sini hari ini.

Yang turut hadir Ketua Pengarah PNM, Datuk Raslin Abu Bakar.

Dalam majlis itu, seramai 18 kanak-kanak dalam kalangan keluarga miskin dan kurang bernasib baik dari Program Perumahan Rakyat (PPR) Sungai Rejang, Setapak diraikan.

Dalam pada itu, mengulas lawatan kerja pertamanya ke PNM, Mohamed Nazri memberitahu, penerangan oleh Raslin tentang perpustakaan berkenaan membuka mata beliau mengenai peranannya.

Katanya, perpustakaan tersebut bukan sekadar tempat untuk orang ramai datang membaca serta meminjam buku, tetapi turut meliputi tugas menjaga dan memproses manuskrip lama.

"Perkara ini agak baharu dan saya sedar bahawa wujud sinergi antara perpustakaan dengan pelancongan, yang boleh dijadikan sebagai salah satu produk untuk menarik kehadiran pengunjung dari luar.

"Pihak kementerian akan berusaha mempromosikan PNM sebagai sebuah lokasi pelancongan dan kebudayaan di negara ini," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment