My Add

Wednesday 17 July 2013

Satu kadar levi untuk pekerja asing

 Wan Junaidi
KUALA LUMPUR, SELASA, 16 Julai, 2013: Kerajaan bercadang menetapkan satu kadar levi bagi pengambilan pekerja asing di semua sektor bagi mengelakkan kerugian jika pekerja terbabit berhijrah ke sektor lain pada masa depan.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, kajian mengenainya akan melibatkan agensi serta kementerian berkaitan seperti Kementerian Sumber Manusia.

"Saya amat tertarik dengan cadangan itu kerana ia secara tidak langsung dapat membendung berlakunya penghijrahan dalam kalangan pekerja asing ini," katanya menjawab soalan tambahan Datuk Ikmal Hisham Abdul Aziz (BN-Tanah Merah) dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

Ikmal Hisham mengemukakan cadangan tersebut bagi membendung tindakan sesetengah pekerja asing atau ejen yang masuk ke negara ini dengan kadar bayaran levi rendah namun berhijrah ke sektor lain yang sepatutnya dibayar pada kadar lebih tinggi selepas itu.

Wan Junaidi menjelaskan, kadar levi yang dikenakan ke atas pekerja asing kini berbeza iaitu RM410 di sektor pertanian, sektor pembuatan (RM1,250) dan sektor perkhidmatan (RM1,850).

Dalam pada itu, katanya, kementerian sering menjalankan operasi bagi menjejaki dan menahan para pekerja asing yang melakukan pelbagai kesalahan dengan kerjasama Kementerian Sumber Manusia.

"Berdasarkan operasi yang dilakukan itu, terdapat kes-kes yang ditemui melibatkan penghijrahan seperti itu," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment