My Add

Wednesday 10 July 2013

Sebarang kenaikan kadar tarif elektrik bukan untuk keuntungan TNB

KUALA LUMPUR, SELASA, 09 Julai, 2013: Sebarang kenaikan kadar tarif elektrik jika berlaku pada masa hadapan adalah disebabkan faktor kenaikan harga bahan api dan bukannya bertujuan menambah keuntungan kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili bagaimanapun berkata, kenaikan tarif hanya akan berlaku selepas kerajaan mengadakan perbincangan rapi dengan TNB bagi memastikan pengguna tidak terbeban.

Menurutnya, melalui mekanisme Fuel-Cost Past Through (FCPT), TNB dibenarkan menyalurkan secara terus sebarang kenaikan kos bahan api kepada pengguna tetapi perlu mendapat persetujuan kerajaan terlebih dahulu.

Katanya ketika ini, Petronas menetapkan harga gas iaitu bahan bakar utama untuk menjana elektrik pada kadar RM13.70 MMBtu, jauh lebih rendah berbanding harga pasaran RM40 MMBtu.

"Sekiranya berlaku sebarang kenaikan harga (bahan api), sudah tentulah semakan tarif, tidak dapat dielakkan kerana gas adalah bahan api utama dalam penjanaan elektrik dan TNB dibenarkan melepaskan kos itu kepada pengguna.

"Ini bermakna kenaikan tarif elektrik bergantung kepada kenaikan kos bahan api dan bukan untuk memberi keuntungan tambahan kepada TNB," katanya ketika menggulung perbahasan titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat hari ini.

Dalam pada itu, Ongkili berkata, melalui FCPT, caj untuk penggunaan elektrik sebanyak 200 kilowatt sebulan akan kekal pada kadar RM0.21 sen perkilowatt manakala mereka yang menggunakan 92 kilowatt akan terus diberi rebat.

"Kerajaan belanja sebanyak RM150 juta setahun bagi memberi rebat kepada pengguna yang hanya menggunakan kadar elektrik kurang RM20 sebulan atau 92 kilowatt bagi memastikan mereka yang berpendapatan rendah terus terjamin," katanya.

Menjawab soalan Tian Chua (PKR-Batu) mengenai faedah yang diperoleh penjana tenaga bebas (IPP) hasil perjanjian dengan TNB, beliau berkata, IPP hanya mendapat keuntungan daripada harga belian tenaga berdasarkan perjanjian ditandatangani.

Katanya, kerajaan tidak pernah memberi atau menyalurkan sebarang bantuan kewangan mahu pun subsidi gas kepada IPP sehingga memberi keuntungan berganda kepada syarikat berkenaan sebagaimana didakwa pembangkang. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment