My Add

Wednesday 17 July 2013

Sebuah kapal, 2 lori tangki penuh diesel dirampas

LUMUT, SELASA, 16 Julai, 2013: Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) cawangan Manjung merampas dua lori tangki dan sebuah kapal tangki yang dipenuhi minyak diesel di Jeti Marina Island Pangkor di Teluk Muroh dekat sini, semalam.

Ketua Cawangan PPDNKK Manjung, Omar Ismail berkata, sebanyak 84,830 liter diesel berjaya dirampas dan nilai rampasan termasuk lori dan kapal tangki dianggar RM1.3 juta.

"Rampasan tersebut dibuat kira-kira 2.10 petang Isnin selepas menerima maklumat daripada orang awam," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata, sepasukan anggota yang dihantar ke lokasi menemui sebuah lori tangki yang sedang memindahkan muatan diesel ke dalam kapal tangki di jeti berkenaan.

"Kira-kira 30 minit kemudian, sebuah lagi lori tangki menuju ke arah jeti tetapi telah berpatah balik selepas menyedari kehadiran anggota penguatkuasa di kawasan itu.

"Bagaimanapun lori tersebut berjaya dipintas dan ditahan selepas gagal menunjukkan sebarang dokumen yang sah," katanya.

Omar berkata, pihaknya turut menahan dua pemandu lori dan seorang penyelia yang mendakwa bekerja di syarikat dipercayai pemilik diesel tersebut.

Katanya, rampasan tersebut dibuat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan sabit kesalahan boleh didenda RM100,000 atau tiga tahun penjara bagi individu atau RM250,000 jika melibatkan syarikat. - BERNAMA 

No comments:

Post a Comment