My Add

Thursday 18 July 2013

Segerakan pindaan akta hukum pesalah siber: Hishammuddin

JERTIH, RABU, 17 Julai, 2013: Pindaan terhadap semua akta berkaitan jenayah siber dan undang-undang bagi kesalahan jenayah siber mesti disegerakan secepat mungkin bagi mengelak orang ramai menghukum sendiri pesalah, kata Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Beliau berkata, Peguam Negara sedang memikirkan pindaan terhadap dua akta jenayah siber terbabit.

"Kalau itu tidak dilakukan, pertimbangan selalunya itu. Kalau tidak buat cepat, akhirnya orang ramai akan mengambil tindakan sendiri.

"Kalau buat awal, orang ramai tak tahu apa sebenarnya yang berlaku," katanya pada sidang media selepas majlis menyerahkan kunci rumah kepada veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Muhamad Mat Diah di Kampung Beris Pak Abu, Gong Kedak, di sini, sebentar tadi.

Beliau yang juga Menteri Pertahanan diminta mengulas laporan akhbar hari ini berkaitan Ahli Parlimen (BN) dan pembangkang yang meminta kerajaan segera mengenakan tindakan tegas terhadap pasangan remaja, Alvin Tan dan Vivian Lee yang menghina Islam.

Sambil menyifatkan perbuatan pasangan remaja itu sebagai melampau, beliau berkata, kes itu perlu dibetulkan kerana orang ramai akan melihat ia sebagai amalan biasa terutama di kalangan generasi muda. 

"Saya gembira pembangkang sudah merapatkan barisan dan tidak bersetuju dengan tindakan mereka berdua. Ada had dan batasan dalam berpolitik, dalam hal begini, nak tunggu hitam putih baru nak buat pendirian tentu beri kesan kepada anak-anak muda dan masa depan mereka cukup merbahaya.

"Sebab itu gelombang positif dan membina, kesukarelaan dan patriotisme serta kesatuan mesti diteruskan. Kalau tidak ada segelintir akan guna isu perkauman pada musim Ramadan, sentimen emosi kaum dan penganut tertentu untuk memecah-belahkan masyarakat.

"Ini isu dua orang, kalau ada reaksi umat Islam pulak, saya bimbang orang ramai akan ambil tindakan sendiri," katanya. - BH

No comments:

Post a Comment