My Add

Friday 19 July 2013

Sekolah satu aliran tingkat perpaduan nasional

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 18 Julai, 2013: Kerajaan disyor mewujudkan hanya satu aliran persekolahan di negara ini bagi mengukuhkan perpaduan nasional ekoran pelbagai gejala negatif yang berlaku kebelakangan ini yang dilihat boleh menjejaskan keharmonian antara rakyat.

Presiden Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (Muafakat), Ismail Mina Ahmad berkata, sekolah pelbagai aliran ketika ini bercanggah dan tersasar jauh daripada Dasar Pendidikan Negara seperti yang termaktub dalam Laporan Razak dan Rahman Talib.

"Menerusi sekolah satu aliran ini, bahasa Melayu digunakan sepenuhnya sebagai medium pembelajaran dan semua sekolah menggunakan kurikulum yang disediakan Kementerian Pendidikan.

"Menerusinya juga, semua pelajar pelbagai kaum dan agama dapat belajar bersama di bawah satu premis serta berinteraksi dengan lebih kerap dan akrab sekali gus membentuk perpaduan nasional seperti yang diharapkan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Ismail Mina, bidang pendidikan bukan sahaja bertujuan mencapai matlamat ekonomi tetapi menjadi instrumen penting membina tamadun negara berteraskan keharmonian.

Sehubungan itu, kata beliau, pihaknya menubuhkan panel peneliti bagi mengkaji dan memberikan cadangan untuk dikemukakan kepada kerajaan dalam masa terdekat bagi memastikan sekolah satu aliran dapat diwujudkan segera. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment