My Add

Sunday 14 July 2013

Seludup 96 guni benih kerang dalam 6 kereta

 * ABDUL Latif Abdul Rahman (kanan) bersama Komander UPP Bukit Kayu Hitam Shahidan Ladin memeriksa bungkusan benih kerang yang cuba diseludup ke negara jiran menggunakan kereta di Gudang Sempadan Jutawan, Kawasan Perindustrian Bukit Kayu Hitam, Kedah, semalam.
KUBANG PASU, SABTU, 13 Julai, 2013: Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) Kedah menggagalkan cubaan satu sindiket yang cuba menyeludup keluar 3,360 kilogram benih kerang bernilai lebih RM37,000 ke negara jiran menggunakan enam buah kenderaan di Gudang Sempadan Jutawan, Kawasan Perindustrian Bukit Kayu Hitam di sini malam tadi.

Pasukan itu turut menahan enam lelaki tempatan berusia antara 22 hingga 37 tahun kira-kira pukul 11.30 malam dalam serbuan itu hasil maklumat yang diterima mengenai kegiatan berkenaan.

Komander UPP Kedah, Abdul Latif Abdul Rahman berkata, enam buah kereta iaitu sebuah Proton Wira, dua buah Proton Saga dan tiga buah Proton Iswara yang digunakan untuk menyeludup 96 guni benih kerang ditemukan dalam gudang tersebut.

"Setiap kenderaan itu dikesan membawa muatan guni-guni berisi benih kerang yang disembunyikan di tempat duduk penumpang belakang dan dalam bonet," katanya kepada pemberita hari ini.

Menurut Abdul Latif, pihaknya percaya benih kerang itu dibawa dari luar Kedah menggunakan lori sebelum tiba di lokasi itu dan akan diseludup ke negara jiran kerana mempunyai nilai yang tinggi iaitu harga sehingga lima kali ganda di sana.

Lazimnya kata beliau, penyeludup menggunakan lori untuk membawa keluar benih kerang tetapi kali ini mereka menukar modus operandi dengan 'memecahkan' penghantaran menggunakan banyak kereta.

"Kesemua suspek dipercayai menerima upah antara RM300 hingga RM400 bagi mengangkut guni-guni berisi benih kerang itu ke negara jiran. Mereka cuba mengambil kesempatan melakukan kegiatan itu semasa pintu pagar sempadan negara belum ditutup," katanya.

Abdul Latif berkata, penahanan barang bukti kes tersebut mengikut Peraturan Perikanan (Pemuliharaan dan Kultur) 2002 di bawah Seksyen 9(2) Penjualan/Pembekalan Benih Kerang.

Katanya, keenam-enam suspek dan semua barang kes berkenaan diserahkan kepada Jabatan Perikanan Kedah untuk tindakan lanjut. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment