My Add

Tuesday 23 July 2013

Shafee Abdullah ketuai pendakwaan rayuan pembebasan Anwar
Oleh NORLIZAH ABAS
 
Add caption
PUTRAJAYA, ISNIN, 22 Julai, 2013: Peguam terkemuka, Datuk Seri Dr. Muhammad Shafee Abdullah (gambar) dilantik oleh Peguam Negara mengetuai pasukan pendakwa raya dalam rayuan pihak pendakwaan terhadap pembebasan Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada tuduhan liwat melibatkan Mohd. Saiful Bukhari Azlan.

Beliau memberitahu Mahkamah Rayuan hari ini, pelantikannya dibuat mengikut Seksyen 376(3) Kanun Tatacara Jenayah dan Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan serta pihaknya bersedia dalam rayuan tersebut.

Muhammad Shafee menyatakan demikian pada prosiding rayuan pendakwa raya terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 9 Januari tahun lalu membebaskan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu daripada tuduhan meliwat.

Rayuan itu bagaimanapun tidak dapat didengar hari ini kerana peguam utama yang mewakili Anwar, Karpal Singh kini dirawat di Wad Ortopedik, Hospital Kuala Lumpur (HKL) sejak Sabtu lalu kerana sakit belakang.

Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Ramly Ali yang bersidang bersama Datuk Tengku Maimun Tuan Mat dan Datuk Mohd. Zawawi Salleh menangguhkannya pada satu tarikh lain. Pengurusan kes ditetapkan pada 1 Ogos depan.

Muhammad Shafee ketika ditemui pemberita memaklumkan, surat pelantikan bertarikh 2 Julai lalu itu ditandatangani oleh Tan Sri Abdul Gani Patail dan diterimanya pada 11 Julai lalu.

Beliau memberitahu, tiada alasan dinyatakan dalam surat berkenaan sambil menyifatkan pelantikan sebagai pendakwa raya secara kontrak itu merupakan satu tanggungjawab awam.

Ujar Muhammad Shafee, pelantikan tersebut melibatkan prosiding di peringkat Mahkamah Rayuan dan sebarang arahan ke peringkat tertinggi akan diputuskan kelak.

"Buat masa ini, saya adalah pendakwa raya bagi rayuan ini dan pada masa yang sama, saya selaku peguam boleh mewakili anak-anak guam saya dalam kes-kes lain asalkan ia tidak menimbulkan sebarang konflik," ujarnya.

Menurut Muhammad Shafee, sebelum ini, beliau pernah dilantik oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mewakili agensi itu sebanyak empat kali dan ini merupakan kali pertama dilantik oleh Peguam Negara dalam kes berprofil tinggi.

Ketika ditanya sama ada beliau menerima bayaran bagi pelantikan kali ini, Muhammad Shafee mengakui menerima bayaran yang sedikit dan jumlahnya bukan sesuatu yang material kerana ia hanya sejumlah bayaran yang perlu dijelaskan bagi mewujudkan kontrak dengan jabatan itu.

Sementara itu, Anwar memberitahu pemberita di luar mahkamah, pelantikan Muhammad Shafee selaku pendakwa raya dalam rayuan itu menyebabkan prejudis terhadapnya.

Sebelum itu, ketika prosiding bermula, peguam Ram Karpal Singh yang hadir bagi pihak Karpal memaklumkan, beliau mendapat arahan agar mengemukakan bantahan awal terhadap pelantikan tersebut.

Peguam bela memberitahu, kes terhadap Anwar bermotif politik dan boleh mewujudkan persepsi tidak elok apabila Muhammad Shafee dilantik sedangkan sebelum ini, kes itu memang dikendalikan oleh timbalan-timbalan pendakwa raya jabatan itu.

Yang turut hadir ialah Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Mohamad Hanafiah Zakaria dan Noorin Badaruddin.

Bagaimanapun, Hakim Ramly mengarahkan agar penghujahan mengenai bantahan tersebut dikemukakan pada rayuan kelak.

Terdahulu, Ram Karpal memohon penangguhan rayuan sambil mengemukakan kepada mahkamah surat bertarikh semalam yang ditandatangani oleh seorang pegawai perubatan dari Institut Ortopedik dan Traumatologi HKL.

Pada 9 Januari tahun lalu, Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah melepas dan membebaskan Anwar selepas mendapati tiada bukti kukuh bagi menyokong keterangan Mohd. Saiful Bukhari selain tidak selamat untuk mahkamah bergantung kepada bukti asid deoksiribonukleik (DNA). - UTUSAN

No comments:

Post a Comment