My Add

Wednesday 10 July 2013

Singapura jelas tindakan ke atas rakyat Malaysia

* SEBAHAGIAN rakyat Malaysia yang mengadakan demonstrasi membantah keputusan pilihan raya umum Malaysia di Merlion Park, Singapura pada 8 Mei lalu. - AGENSI
SINGAPURA, SELASA, 09 Julai, 2013: Polis Singapura telah mengambil tindakan ke atas 55 orang rakyat Malaysia yang terlibat dalam demonstrasi membantah keputusan pilihan raya umum negara itu di Merlion Park, di sini pada 8 Mei lalu.

Menteri Dalam Negeri Kedua Singapura, S. Iswaran bagaimanapun berkata, pihak berkuasa sedang menilai tindakan yang akan diambil ke atas empat orang lagi rakyat Malaysia.

''Kesemua yang disiasat dalam demonstrasi tersebut merupakan warga asing (merujuk kepada rakyat Malaysia),'' katanya pada sidang Parlimen di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan yang dikemukakan oleh anggota Parlimen Chua Chu Kang, Zaqy Mohamad yang mahu mengetahui bagaimana demonstrasi oleh rakyat Malaysia dibenarkan berlaku di Singapura.

Sekumpulan rakyat Malaysia pada 8 Mei lalu berkumpul di Merlion Park bagi membantah keputusan pilihan raya umum negara itu yang didakwa berlaku penyelewengan.

Iswaran mengulangi amaran bahawa walaupun rakyat asing dibenarkan bekerja dan tinggal di negara ini, namun mereka perlu mematuhi undang-undang Singapura.

''Mereka tidak sepatutnya mengimport isu domestik dari negara itu ke Singapura dan mengadakan aktiviti yang boleh menganggu ketenteraman awam ketika terdapatnya kumpulan lain yang berbeza pendapat,'' katanya.

Beliau menerangkan bahawa polis yang mengendalikan kejadian itu mengutamakan ketenteraman awam dan keselamatan rakyat.

Iswaran menegaskan bahawa mereka yang melanggar undang-undang akan dikenakan hukuman tegas termasuk pembatalan pas pekerja dan visa. - AGENSI/UTUSAN

No comments:

Post a Comment